Penyelidik UMP hasilkan alat penyedut madu kelulut lebih berkualiti
Pekan, 29 Mei– Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan produk “Sleek Pump” bagi memudahkan kepada pengusaha projek ternakan madu kelulut untuk menyedut madu dengan tidak menjejaskan kualiti madu tersebut.
Ketua Penyelidik, Dr. Mohamad Firdaus Basrawi, 34 yang merupakan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) berkata, projek ini bermula tahun 2016 dan telah siap sepenuhnya pada tahun 2018.
Menurut Dr. Mohamad Firdaus berkata, Malaysia mempunyai lebih daripada 4000 penternak madu kelulut di seluruh negara. Di negeri Pahang sahaja ahli yang berdaftar dengan Persatuan Usahawan Kelulut Pahang (PUKP) adalah seramai 110 orang dan dianggarkan dapat menghasilkan 1,400 kg madu sebulan.
Justeru, persatuan ini pernah menyuarakan agar dapat membantu menyediakan kaedah bagi menyedut atau menuai hasil madu yang lebih mudah dan murah. Maka bermula dari situlah idea penghasilan penyedut madu ini dihasilkan.
“Sebelum ini pelbagai kaedah yang digunakan untuk menyedut madu antaranya dengan mengunakan straw, picagari, malah ada juga yang menggunakan pump. Namun dengan kaedah tersebut terdapat perlbagai masalah seperti kurang kualiti madu, madu berbuih, sedutan yang perlahan dan sebagainya,” ujar beliau baru-baru ini.
Sleek Pump merupakan salah satu alat penyedut madu yang menggunakan bateri dan mudah di bawa ke mana sahaja. Baginya, jika penoreh getah memerlukan pisaunya, bagi penternak kelulut pula perlu memiliki alat penyedut ini bagi mendapatkan madu yang berkualiti tinggi.
Ujarnya, pada peringkat awal produk ini digunakan dan diuji oleh seramai 30 penternak daripada Persatuan Usahawan Kelulut Pahang. Di sinilah mereka mendapat input bagi sentiasa menambah baik produk ini. Berdasarkan testimoni yang diterima, mereka mengatakan pump ini lebih laju berbanding produk atau kaedah lain dan baterinya lebih tahan lama. Tambahan pula ianya akan menghasil madu yang kurang berbuih. Kebanyakan penggemar madu tidak menyukai madu yang terlalu banyak berbuih sehingga kadangkala boleh menyebabkan botol penyimpanan pecah.
Ujarnya dengan menggunakan Sleek Pump sedutan madu dapat dibuat terus dari kantung madu dalam sarang kelulut. Kemudian madu tersebut akan terus masuk kedalam botol. Sistem ini dilengkapi bateri yang akan bertahan sehingga 4 jam penggunaannya.
Selain itu juga dengan menggunakan Sleek Pump sedutan madu dapat dibuat terus dari kantung madu dalam sarang kelulut. Kemudian madu tersebut akan terus masuk ke dalam botol dan tidak perlu untuk menunggu masa antara seminggu hingga sebulan bagi proses pemendapan buih.
Kini produk ini dalam proses untuk dipasarkan dan bagi yang berminat boleh mendapatkannya dengan harga di antara RM500 hingga 600. Reka bentuk model ini juga bersifat kompak dan dengan menggunakan Sleek Pump sedutan madu dapat disedut dengan laju serta dijamin kualitinya apabila madu tersebut tidak akan berbuih.
Kumpulan penyelidik ini turut melibatkan penyelidik lain iaitu Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris, Dr. Mohd Hazwan Yusof, Dr. Mohd Yusof Taib, Abdullah Inrahim Mahmoud Al Anati, Luqman Abdul Halim dan Siti Sarah Shaikh Mohd Raziff.
Disediakan oleh Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat
- 1998 views