Penyelidik UMPSA jayakan Program Pemindahan Ilmu di MTNP
KUANTAN, 27 September 2025 – Pasukan penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi Projek Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohammad Adam Adman telah melaksanakan Program Pemindahan Ilmu Pengetahuan berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
Turut serta ahli-ahli penyelidik yang lain iaitu Dr. Suhaidah Hussain, Ts. Muhammad Hairynizam Muhd Taib, Ts. Khairil Anuar Abdul Hamid dan Ts. Mohd Marzuki Mohamed.
Program ini menghimpunkan seramai 70 pelajar Tingkatan 2 dan 3 MTNP dengan penglibatan 11 fasilitator UMPSA daripada pelbagai pusat tanggungjawab termasuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Pengurusan Industri (FPI) dan Pusat TVET Termaju.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Kanan Tahfiz Profesional MTNP, Nazahar Abdul Hamid.

Turut hadir guru kaunselor, pensyarah dan guru tahfiz yang memeriahkan acara.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kolaborasi daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) FTKA, Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) serta OSHMeD UMPSA.
Program ini menampilkan modul bersepadu SDG, STEM dan KKP melalui aktiviti hands-on di empat stesen utama iaitu Stesen 1: Enviro Battery, Stesen 2: Penapis Air DIY, Stesen 3: Tenaga Solar dan Angin serta Stesen 4: CPR.
Aktiviti ini dikendalikan oleh barisan pensyarah dan penyelidik UMPSA, termasuk penyertaan istimewa daripada Profesor Ts. Dr. Hajah Khairunisa Muthusamy, penyelidik FTKA yang tersenarai dalam World’s Top 2% Scientist yang turut bertindak sebagai fasilitator.
Selain itu, pelajar turut mendapat inspirasi melalui ceramah perkongsian kerjaya daripada Ikon Industri PETRONAS Chemicals MTBE, Ir. Ts. Mohd Azrul Nizam Mohd Zahir yang menekankan kepentingan ilmu STEM dalam kerjaya masa depan.
Menurut Ts. Dr. Mohammad Adam, penyertaan aktif pelajar dalam modul bersepadu ini diharap mampu membina minat dan kesedaran mereka terhadap bidang STEM, memupuk kefahaman tentang kelestarian melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta meningkatkan kepekaan terhadap aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“Malah, program ini juga menunjukkan komitmen berterusan UMPSA untuk mendekatkan diri dengan komuniti, selain menyemai nilai ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada generasi muda,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Ts. Dr. Mohammad Adam Adman, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)
- 73 views
Reports by: