Skip to main content

Prof. Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang menang tempat kedua Anugerah MAPIM-KPT Ke-16

PUTRAJAYA, 9 Disember 2025 - Makalah 'From Complexity to Clarity: A DEMATEL Analysis of Critical Blockchain Technology Adoption Factors' hasil penyelidikan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah di Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang berjaya meraih Tempat Kedua Anugerah MAPIM- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Ke-16 bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik (Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan) melalui makalah makalah terbitan Journal of Governance and Integrity (FIM UMPSA) dalam Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke-16 di Dewan Zaaba, KPT Malaysia. 

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Zainal Amin Ayub. 

Prof. Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang menang tempat kedua Anugerah MAPIM-KPT Ke-16

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Lee, kejayaan makalah ini hadir daripada usaha memahami isu teknologi blockchain yang kompleks dan sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan industri serta pembuat dasar. 

"Kaedah DEMATEL yang digunakan dalam kajian ini membolehkan hubungan sebab-akibat yang rumit diterjemahkan kepada satu rangka kerja yang lebih jelas dan praktikal, sekali gus memudahkan organisasi menilai faktor penerimaan teknologi secara lebih sistematik. 

"Pendekatan analitik ini memberi gambaran menyeluruh terhadap elemen kritikal seperti scalability, interoperability dan security, yang sering menjadi halangan utama dalam pelaksanaan blockchain," katanya. 

Tambah Profesor Madya Ts. Dr. Lee, penemuan kajian ini turut menyediakan asas penting bagi penggubalan dasar transformasi digital yang lebih berkesan, selain membantu mempercepat integrasi teknologi baharu dalam rantaian bekalan negara. 

"DEMATEL bukan sahaja memberi nilai akademik, tetapi juga memandu industri dalam mengurus risiko, meningkatkan keselamatan sistem dan merangka strategi pelaksanaan digital yang lebih mampan.

Kejayaan ini memperkukuh rekod pencapaian beliau dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, termasuk penglibatan aktif sebagai penyumbang kepada pembangunan standard global Project Management Institute (PMI). 

Menurutnya lagi, penglibatan dalam penyediaan PMBOK® Guide Edisi Ketujuh dan Kelapan, The Standard for Program Management serta Risk Management In Portfolios, Programs, and Projects membolehkan beliau menerapkan kepakaran dalam pemikiran sistem dan struktur projek kompleks ke peringkat antarabangsa. 

"Pengalaman tersebut sebagai pemangkin kepada kualiti penyelidikan yang dijalankan.

"Inovasi seperti DEMATEL Digraph yang memenangi Gold Award serta Best Innovation Award di MTE merupakan hasil usaha mendalami interaksi faktor kritikal dalam projek, seterusnya memperkukuh penyelidikan yang dijalankan di UMPSA," ujarnya. 

Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Kualiti Kerjasama Industri (AKIM) UMPSA untuk dua tahun berturut-turut, selain pernah dinobatkan sebagai Most Promising Academician pada tahun 2018.

Beliau juga telah dipilih sebagai ahli Young Scientists Network–Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM) sejak tahun 2023, di samping meraih pelbagai anugerah inovasi pada peringkat nasional dan antarabangsa. 

Pengiktirafan MAPIM-KPT ini sekali lagi mengangkat nama UMPSA sebagai institusi yang komited melahirkan penyelidikan berimpak tinggi. 

Beliau menzahirkan penghargaan kepada universiti yang sentiasa menyediakan ruang untuk kecemerlangan penyelidikan serta menyifatkan anugerah ini sebagai bukti bahawa pendekatan analitik lanjutan mampu memberikan sumbangan besar kepada industri, pembuat dasar dan perkembangan ilmu. 

Kejayaan beliau ini bukan kejayaan peribadi semata-mata, tetapi kejayaan bersama UMPSA yang sentiasa mengutamakan integriti, inovasi dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri