Program Teknologi Pembinaan BIM beri manfaat buat 31 wakil syarikat kontraktor
PAYA BESAR, 11 September 2026 - Seramai 31 wakil syarikat kontraktor dari negeri Pahang menyertai Program Pembangunan dan Pemerkasaan Kontraktor dalam Bidang Teknologi Pembinaan – Building Information Modelling (BIM) yang berlangsung selama lima hari di MyBIM Satelit Pahang, BIM Centre UMPSA di UMPSA Paya Besar baru-baru ini.
Program anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan CIDB Digital Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu memberikan pendedahan kepada peserta mengenai konsep, pengurusan dan pelaksanaan BIM dalam tugasan harian industri pembinaan.
Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (Pusat BIM), Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron, menerusi sesi pembelajaran serta latihan praktikal secara hands-on, peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mengaplikasikan teknologi BIM bagi menyokong perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan projek yang lebih pantas, sistematik serta efisien.
“Saya amat teruja dan berbangga dengan komitmen, kesungguhan serta semangat pembelajaran yang ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang program berlangsung.
“Malahan penglibatan aktif para peserta membuktikan kesediaan kontraktor di negeri Pahang untuk menerima perubahan dan bergerak seiring dengan transformasi digital industri pembinaan.
“Transformasi digital bukan sekadar tentang perisian, model dan data,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, teknologi yang benar-benar bermakna bukanlah teknologi yang hanya membawa mereka yang paling muda dan paling pantas ke hadapan, tetapi teknologi yang membuka ruang kepada semua untuk belajar, berkembang dan bergerak maju bersama-sama.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada CIDB Malaysia dan CIDB Digital Sdn. Bhd. atas inisiatif serta kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program ini bersama-sama BIM Centre UMPSA.

“Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan projek serta menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan daya saing kontraktor di negeri Pahang,” katanya.
Disediakan Oleh: Hardiyana Mohd Saman, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 15 views
Reports by: