Sesi Dialog Pahang–Scotland buka ruang kerjasama baharu pacu teknologi, inovasi dan Agenda Net-Zero
CYBERJAYA, 14 September 2026 – Usaha memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi Pahang terus diperkasakan apabila Sesi Dialog Pahang–Scotland: ‘Fostering Possibilities: Net-Zero & Innovation’ menjadi platform strategik untuk meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang sains, teknologi, penyelidikan dan pembangunan lestari.
Sesi yang berlangsung di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Mohd Najib dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan institusi luar negara.
Program berprestij itu adalah anjuran Pahang Aerospace City (PAC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Versus Innovation serta rakan strategik dari Scotland iaitu The University of Edinburgh, Scottish Development International dan Astroagency yang membawa kepakaran serta jaringan antarabangsa dalam bidang Sains dan Kejuruteraan.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, sesi dialog itu mencerminkan pendekatan kolaborasi yang lebih tersusun dengan menggabungkan kekuatan universiti, kerajaan, industri, ekosistem kewangan dan komuniti menerusi Model Kolaborasi Pentahelix.
“UMPSA berperanan sebagai pemangkin saintifik bagi memastikan kekuatan penyelidikan dan teknologi dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak secara langsung kepada pembangunan negeri Pahang.
“Kerjasama ini bukan sekadar membina jaringan antarabangsa, tetapi membuka laluan untuk menghasilkan teknologi yang boleh diuji di lapangan, membangunkan industri baharu dan menyediakan peluang yang lebih besar kepada masyarakat.
“Asas kepada kerjasama ini telah diperkukuh menerusi kunjungan delegasi The University of Edinburgh yang merupakan rakan kerjasama strategik UMPSA ke kampus UMPSA di Pekan dan Paya Besar pada 10 dan 11 September lalu,” ujarnya.

Lawatan teknikal dan perbincangan strategik itu melibatkan beberapa fasiliti utama UMPSA termasuk Rimba Lestari, makmal perintis Rare Earth and Critical Minerals, peralatan industri khusus serta Aero Lab, sebelum delegasi meneruskan siri perbincangan penyelidikan yang lebih tertumpu.
Antara bidang yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk kerjasama ialah mobiliti termaju dan teknologi angkasa, khususnya penggunaan data satelit dan kecerdasan bumi bagi menyokong pengurusan hutan, pertanian dan sektor maritim di negeri Pahang.
Dalam bidang kelestarian pula, fasiliti living lab UMPSA seperti Rimba Lestari, Floating Solar dan Lakeside Eco-Precinct akan membuka ruang kepada kerjasama dengan Edinburgh Earth Initiative bagi membangunkan penanda aras alam sekitar yang dapat menyokong keseimbangan antara pembangunan industri dan pemeliharaan biodiversiti.
Kerjasama dalam bidang Biosains dan Bioaromatik turut diberi perhatian menerusi penggabungan kepakaran UMPSA dalam pengekstrakan bioaromatik dengan kepakaran The University of Edinburgh dalam sains molekul tumbuhan.
Antara potensi yang sedang diterokai ialah Bunga Pekan, meliputi aspek genetik molekul, profil minyak pati dan ciri terapeutik untuk aplikasi dalam bidang kesejahteraan, penjagaan kesihatan dan kimia hijau.
Sementara itu, bidang Nadir Bumi dan Mineral Kritikal akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi pemprosesan yang lebih mesra alam, amalan perlombongan mampan (sustainable mining), pemulihan tapak lombong, pemulihan tanah pascaperlombongan serta pemanfaatan bahan buangan perlombongan.
Pendekatan berkenaan dilihat selari dengan hala tuju negeri Pahang untuk bergerak daripada aktiviti pengekstrakan bahan mentah kepada pembangunan rantaian bekalan pemprosesan bahan bernilai tinggi yang berteraskan tempatan.
Dalam sesi Dialog Pahang-Scotland ini, UMPSA telah terlibat secara proaktif bersama dengan semua agensi kerajaan, swasta dan antarabangsa dalam sesi Kumpulan Tindakan bagi merangka usul dan komitmen strategik.
Para penyelidik UMPSA juga turut terlibat dalam kumpulan Space Technology and Future Workforce, Net-Zero and Planetary Health dan Critical Minerals and Circular Economy.
Kumpulan pertama yang membincangkan berkenaan Teknologi Angkasa telah mencadangkan perlaksanaan ‘Program Kesediaan Bakat dan Industri’ sebagai jambatan penghubung ekosistem, terutamanya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih dan mahir di Pahang Aerospace City.
Manakala kumpulan yang membincangkan berkenaan critical minerals telah memperincikan kerangka kerja untuk tiga projek perintis perindustrian yang berkaitan mineral di negeri Pahang, iaitu pengasingan campuran larutan nadir bumi (rare-earth), pencirian silika untuk bahan pembinaan, dan ujian kebolehlaksanaan kapasiti terma bumi (geoterma) di tapak PAC.
Pembentangan kumpulan kedua pula telah mendapat sambutan yang hangat iaitu cadangan Pahang Aerospace City (PAC) sebagai sebuah ‘Makmal Hidup’ (Living Laboratory) di bawah inisiatif RE:CERATING bagi menggabungkan matlamat net-zero, sains biodiversiti, dan pengetahuan komuniti.
Dalam program yang sama, Profesor Adjung Muhammad Nurazmi Abas juga turut mengumumkan sebidang tanah berkeluasan 141 ekar di Kawasan Precinct 1 Pahang Aerospace City telah diperuntukan untuk pembangunan RE:CERATING, dengan kerjasama daripada Kerajaan negeri Pahang dan agensi-agensi yang berkaitan.
RE:CERATING akan diuruskan oleh Versus Innovation.
Versus adalah sebuah venture studio UMPSA yang akan memainkan peranan sebagai enjin pengkomersialan bagi membangunkan dan mengembangkan lagibidang teknologi angkasa, net-zero, kecerdasan buatan, sistem autonomi dan teknologi mobiliti termaju.
Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, UMPSA dan The University of Edinburgh bersedia menjadi rakan penyelidikan strategik kepada negeri Pahang dengan menyediakan kepakaran teknikal, pengujian khusus dan pengesahan saintifik, khususnya dalam menyokong pembangunan Pahang Aerospace City.
“Dengan kekuatan penyelidikan antarabangsa The University of Edinburgh, kepakaran teknologi gunaan UMPSA, kepimpinan dasar Pahang dan keupayaan pelaksanaan rakan industri, kita mempunyai platform yang kukuh untuk menghasilkan impak jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya berharap kerjasama Pahang–Scotland ini bakal menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, pembangunan bakat, penerbitan serta peluang mendapatkan geran kompetitif antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai negeri yang progresif, berdaya saing dan berteraskan teknologi serta inovasi selaras dengan aspirasi Pahang 1st.
Sesi perbincangan kumpulan dan dialog tersebut juga disertai dengan aktif oleh wakil Akademi Mineral Pahang, Majlis Biodiversiti Pahang, Invest Pahang, PLANMalaysia@Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Pahang Mining Corporation, Pahang Corporation, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Koridor Utiliti Pahang dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA), serta rakan industri termasuk Pertubuhan Perancang Malaysia, Labuan IBFC, Koridor Utiliti Pahang, LatConnect 60, KASDR, Arief Capital, REKA, Urban Scale, dan Baiyuzen.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views
Reports by: