Sinergi UMPSA-MBJB terajui pembangunan teknologi mampan melalui penyelidikan dan inovasi
JOHOR BAHRU, 5 Jun 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi melibatkan pembangunan teknologi mampan.
Majlis menyaksikan Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menandantangani MoU bersama Datuk Bandar Johor Bahru, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad di Menara MBJB, Johor Bahru.
Menurut Profesor Dr. Mohd Hasbi, pada masa ini kolaborasi strategik fasa awal membabitkan kebolehlaksanaan pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) bersepadu pada tiang lampu jalan terpilih di parkir dalam kawasan kendalian pihak MBJB.
“Kemudahan ini membolehkan pemilik kenderaan EV mengecas kenderaan EV mereka dengan akses yang lebih mudah dan pilihan lokasi yang lebih banyak di daerah Johor Bahru dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MBJB.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen UMPSA untuk terus menerajui agenda penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat dalam bidang mobiliti lestari,” ujarnya.
Turut hadir Pengurus Besar, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Hazmin Aris.
Bagi fasa berikutnya bakal dilaksanakan melibatkan kolaborasi strategik bagi pelaksanaan pemeriksaan tahap kesihatan pokok-pokok di bawah pentadbiran MBJB melalui hasil penyelidikan dan inovasi penyelidik UMPSA dengan menggunakan dron untuk mengimbas pokok-pokok berkenaan.
Ujarnya, usaha ini akan membolehkan kaedah pemantauan tahap kesihatan dan kekuatan dahan-dahan pokok berkenaan menjadi lebih mudah dan cepat berbanding dengan kaedah konvensional.
Turut dibincang bersama pelaksanaan kolaborasi strategik pada fasa berikutnya adalah penggunaan baja prebiotik hasil penyelidikan dan inovasi penyelidik UMPSA yang telah diiktiraf dan digunakan di negara Qatar.
Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah menghargai komitmen rakan strategik, pihak MBJB dengan termeterainya MoU ini.
Ujarnya, UMPSA bukan sahaja menjadi sebahagian daripada transformasi infrastruktur hijau negara, malah berperanan sebagai pemangkin dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada agenda elektrifikasi dan kelestarian Malaysia.
Beliau percaya inisiatif ini akan membuka peluang besar dalam penghasilan penyelidikan berimpak tinggi, mematuhi sepenuhnya piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sekali gus menetapkan penanda aras baharu negara dalam infrastruktur hijau.
Majlis menandatangani dan pertukaran dokumen MoU di antara UMPSA dan MBJB telah diadakan sejurus selepas tamat Mesyuarat Penuh Majlis MBJB melibatkan kehadiran ahli majlis.
Oleh: Hazmin Aris, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 27 views