Skip to main content

SISTEC 2026 perkukuh jaringan sains, teknologi dan inovasi

BANGI, 11 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan strategik dalam bidang sains, teknologi dan inovasi menerusi penganjuran 6th Symposium on Industrial Science and Technology 2026 (SISTEC 2026) yang menghimpunkan pakar akademik, penyelidik, industri dan agensi kerajaan.

Program anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan Pusat Kecerdasan Bahan Termaju (CAIM), UMPSA dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berlangsung selama dua hari, bermula 10 hingga 11 September di Bangi Resort Hotel, Selangor.

SISTEC 2026 bertemakan ‘Converging Nanotechnology, Advanced Materials and Circular Economy for Sustainable Innovations’ itu memberi tumpuan kepada usaha mempercepat penerjemahan hasil penyelidikan kepada inovasi yang mampu dimanfaatkan industri serta masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), MOSTI, Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza Harun yang turut menyumbangkan RM40,000 bagi menyokong penganjuran serta pembangunan aktiviti berkaitan sains, teknologi dan inovasi menerusi SISTEC 2026.

Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim yang mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Turut sama Dekan FSTI, Profesor Madya Ts. Dr. Aizi Nor Mazila Ramli; Pengarah CAIM, Profesor Madya ChM. Dr. Izan Izwan Misnon serta Pengarah SISTEC 2026, Profesor Madya Ts. Dr. Rasidi Roslan.

SISTEC 2026 perkukuh jaringan sains, teknologi dan inovasi

Menurut Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi, program ini menjadi platform yang menghimpunkan para cendekiawan yang terdiri daripada staf akademik, penyelidik dan pelajar pascasiswazah UMPSA dan institusi awam dan swasta, pakar industri serta pelbagai pihak berkepentingan.

“Pertemuan ini memberi peluang peserta berkongsi hasil penyelidikan, bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama dalam bidang sains dan teknologi industri,” ujarnya.

SISTEC 2026 turut menampilkan empat tokoh akademik dan industri sebagai keynote speaker, termasuk Pengarah Battery Research Center of Green Energy, Ming Chi University of Technology, Taiwan, Profesor Dr. Chun-Chen Yang dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Profesor (Adj.) Dr. Rezal Khairi Ahmad.

Perkongsian pada hari kedua pula disampaikan oleh Pengarah Urusan Galaxy Tech Solutions merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Center of Sustainability Analytics (CenSA), Ts. Raja Shazrin Shah Raja Ehsan Shah serta Pengurus R&D Nextgreen Global Berhad, Dr. Tengku Arisyah Tengku Yasim-Anuar.

Selain perkongsian kepakaran dan pembentangan penyelidikan, SISTEC 2026 turut mendapat sokongan sektor industri menerusi penajaan daripada pelbagai organisasi, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih dinamik.

Antara penaja kategori Emerald ialah Conquest Analytical Sdn. Bhd., Avelab Solution Sdn. Bhd., Gaia Science (M) Sdn. Bhd., Straits Scientific (M) Sdn. Bhd., Nexus Analytics Sdn. Bhd. dan Interscience Sdn. Bhd., manakala Taat Bestari Sdn. Bhd. tampil sebagai Ruby Sponsor.

GAT Scientific Sdn. Bhd. dan Ortecheng Sdn. Bhd. pula merupakan Diamond Sponsor bagi SISTEC 2026.

Pada majlis itu, penganjur turut memberi pengiktirafan kepada pembentang terbaik menerusi Best Presenter Award bagi kategori Pensyarah/Staf/Agensi dan Pelajar.

Bagi kategori pelajar, anugerah itu diraih Muhammad Nor Arifin Yaakob dari UMPSA menerusi pembentangan bertajuk ‘Comparative Study of Renewable Aldehyde-Functional and the Influence of Aromatic Substituents on Curing and Thermal Stability’.

Sementara itu, kategori Pensyarah/Staf/Agensi dimenangi oleh Profesor Salah Jellali dari Sultan Qaboos University menerusi pembentangan bertajuk ‘Ca-functionalized Biochars Synthesis and Application for Phosphorus Recovery under Static and Dynamic Modes’.

Penganjuran SISTEC 2026 membuktikan komitmen UMPSA untuk terus menjadi platform penghubung antara kepakaran akademik, keperluan industri dan agenda negara dalam memperkasa penyelidikan, pembangunan teknologi serta inovasi yang memberi impak kepada masyarakat dan pembangunan lestari.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri