Skip to main content

Ts. Dr. Norashikin hasilkan produk penjagaaan diri dan kebersihan jenama Aureiz yang selamat

Kuantan, 21 September 2020 - Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr. Norashikin Mohd Zain yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan lebih sepuluh tahun di universiti berjaya menghasilkan tiga produk berkaitan penjagaan diri dan kebersihan dari bahan-bahan yang selamat iaitu pencuci tangan antimikrob, pembersih badan antimikrob dan semburan pembersih ruang antimikrob.

Produk menggunakan jenama Aureiz keluaran Syarikat Medieva Sdn. Bhd. itu mendapat pembiayaan geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUBERB) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Menurut Ts. Dr. Norashikin, produk pencuci tangan yang dihasilkan ini menggunakan bahan antimikrobial yang selamat dan dapat membersihkan tangan dari kotoran, bakteria atau virus penyebab penyakit. 

“Ia menggunakan formulasi lembut yang membersihkan kulit tanpa mengeringkannya. Pencuci tangan ini terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender dan vanilla.

“Manakala bagi pembersih badan pula terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender, rose dan vanilla. 

“Terdapat perbezaan produk pembersih badan ini berbanding produk lain iaitu produk ini tidak mengandungi Sodium Lauryl Sulfate (SLS), Sodium Laureth Sulfate (SLES), paraben atau alcohol,” katanya.  

Jelas beliau lagi, Natural Surfactant digunakan untuk penghasilan buih. Ia selamat untuk pengguna dan bahan-bahan yang digunakan juga mampu memelihara alam sekitar. 

“Bahan antimikrobial yang terdapat di dalam produk ini membantu membunuh kuman.

“Bagi membantu membunuh bakteria di permukaan dan ruang, kami menghasilkan semburan antimikrob. 

“Ia terdiri daripada cairan yang mengandungi beberapa bahan antimikrobial bagi membasmi kuman,” ujar beliau. 

Malahan, cairan ini mengandungi esktrak semula jadi bagi menggantikan penggunaan bahan kimia untuk memberikan bau yang harum. 
Semburan antimikrobial ini juga boleh digunakan untuk menyembur kawasan seperti di ruang tamu, bilik tidur, tilam, tandas, permainan anak-anak, kawasan tong sampah, di dalam kereta atau di mana sahaja permukaan untuk tujuan pembersihan. 

Semburan antimikrobial ini juga terdapat dalam dua pilihan bau yang menyegarkan iaitu lavendar dan vanilla.

Tambahnya, produk pencuci tangan dan badan telah mendapat kelulusan notifikasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Ketiga-tiga produk ini juga telah lulus Recognition Program untuk ujian makmal (lab tested) daripada agensi Bioeconomi Corporation bagi mengesahkan kandungan bahan-bahan yang digunakan  adalah selamat. 

“Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ianya bebas dari mikroorganisma berbahaya. 

“Semua orang mengetahui membasuh tangan itu penting khususnya dalam menghalang penularan jangkitan penyakit.

“Namun, sejauh mana kita mempraktikkan kaedah membasuh tangan yang betul?,” katanya. 
 
Ujarnya, membasuh tangan dengan sabun dan air adalah cara terbaik untuk menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus daripada permukaan kulit. 

“Tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikroorganisma antara individu kepada individu yang lain,” ujarnya. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar entiasa menjaga kebersihan diri, keluarga dan persekitaran. 

“Bagi penjagaan diri amalkan tujuh langkah yang perlu diikuti untuk pencucian tangan dengan cara yang betul seperti yang dianjurkan oleh KKM iaitu mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih secukupnya, gosok tapak tangan, setiap jari dan celah-celah jari serta gosok kuku pada tapak tangan juga belakang tangan. 

“Setelah itu, bilas dengan air bersih yang mencukupi dengan sempurna dan keringkan tangan dengan tuala yang kering dan bersih atau alat pengering tangan.

‘Mencuci tangan merupakan salah satu langkah penting yang boleh diambil untuk mengelakkan penyebaran penyakit.

“Tindakan mencuci tangan juga perlu dijadikan amalan seharian, bukan hanya untuk mencegah penularan wabak COVID-19 semata-mata,” katanya. 

Selain itu, budaya mencuci tangan hendaklah dipraktikkan dalam kalangan semua peringkat umur. 
Kanak-kanak khususnya mudah terdedah pada penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda atau individu lain. 

Mereka perlu dididik mengenai kepentingan mencuci tangan dengan cara yang betul terutama sebelum makan dan selepas penggunaan tandas.
 
Nasihatnya, sebagai ibu bapa juga perlu mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan tangan dan berperanan dalam mendidik anak-anak mereka. 

Amalan mencuci tangan dengan cara yang betul juga patut diteruskan contohnya di pusat jagaan kanak-kanak. 

Ini kerana kanak-kanak prasekolah mudah terdedah kepada penyakit yang mudah merebak apabila bergaul antara mereka dan ia juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah bagi menjaga kesihatan pelajar.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri