UMP Menang Kertas Kajian Terbaik ICHSST
Kuantan, 22 Januari- Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datin Dr Mazita Mokhtar dari Fakulti Pengurusan Industri yang menjalankan kajian bertajuk `Measuring the Produk Quality of Malaysian Herbal Industry : a pilot study’ dianugerahkan Kertas Kajian Terbaik dalam The IV International Conference on Humanities, Sciences, Social Sciences and Technology (ICHSST) kali keempat yang berlangsung di University of Leeds United Kingdom baru-baru ini . Program anjuran Majlis Profesor Negara dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Pasca Siswazah United Kingdom dan EIRE.
Beliau yang menjalankan kajian bersama dua penyelidik lain iaitu Dr.Rozita Mokhtar dari Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan dan Muhammad Aiman Zulkifli majhasiswa University of Leeds United Kingdom telah menjalankan kajian kualiti pengeluaran herba dengan mensasarkan terhadap industri farmaseutikal di Malaysia.
Menurutnya,prospek produk herba sangat meluas bukan setakat di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Ianya menyumbang besar kepada ekonomi negara jika dilaksanakan mengikut spesifikasi pasaran dan permintaan.
“Kerajaan Malaysia sentiasa memberi sokongan padu terhadap industri ini dan kajian ini diharapkan dapat membantu industri herba Malaysia menekankan pengurusan berkualiti di dalam operasi pengeluaran produk dengan penekanan terhadap Kepimpinan dengan disokong faktor-faktor lain seperti kerjasama dalaman organisasi, latihan dan penambahbaikan berterusan demi kelangsungan kepuasan pelanggan,” katanya.
Ujar beliau, kajian yang dijalankan sejak tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada 2014 ini menemui terlalu banyak isu berkaitan ubat herba yang kualiti diragui, tetapi dijual di pasaran, terutamanya di Malaysia melalui laporan yang diperolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia.
Selain itu, ianya juga berkaitan dengan pengurusan industri dengan disokong alatan berteknologi tinggi. Kajian ini juga sudah pasti dapat membantu industri
terutama backyard industry yang berstatus kecil dan sederhana. Malahan sekiranya hasil kajian ini diterapkan kepada kepimpinan industri, ianya sudah pasti dapat mengembangkan perniagaan dan akhirnya dapat meningkatkan ekonomi Negara.
Datin Dr. Mazita juga merupakan konsultan kepada syarikat kecil baru dan yang ingin mengembangkan perniagaan. Setakat ini beliau telah melatih lebih dari 3000 orang mahasiswa melalui subjek Technopreneurship dan Asas Latihan Keusahawanan.
Beliau juga telah dilantik oleh SME Corp melatih usahawan muda di dalam program Tunas Usahawan Belia (Program TUBE) sejak Siri 2 bermula tahun 2015 sehingga kini dan bertanggungjawab sebagai Penasihat Kelab Enactus Pelajar Social Enterprise UMP sejak tahun 2013. Duta Magic mulai tahun 2017.
Di samping itu, Datin Dr. Mazita juga bertindak Ketua Tenaga Pengajar melatih 200 bakal usahawan SME Corp untuk memulakan perniagaan dan sebagai tenaga melatih lebih 6000 usahawan kecil, sederhana dan menengah di negeri Pahang sejak tahun 1996.
- 227 views