UMPSA lakar pencapaian berprestij di Malaysia’s BIM Day 2026
PUTRAJAYA, 14 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap Building Information Modelling (BIM) dan Digital Construction negara apabila Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM Centre) berjaya meraih 2nd Runner-up bagi kategori Better World Builder of the Year Award bersempena dengan Autodesk Innovation Awards 2026 yang berlangsung di program Malaysia’s BIM Day 2026 di Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.
Lebih membanggakan, UMPSA tampil bersaing di pentas yang sama dengan nama-nama besar industri dan agensi teknikal negara.
Dalam persaingan tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul sebagai pemenang, diikuti JKR Sarawak, manakala UMPSA berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga.
Pengiktirafan ini diraih menerusi projek ‘Application of Augmented Reality & Digital Twin in Energy-Efficient ACMV Retrofitting’, yang mengetengahkan aplikasi Augmented Reality (AR) dan Digital Twin dalam menyokong kerja-kerja retrofitting sistem ACMV yang lebih cekap tenaga dan mampan.
Kategori Better World Builder of the Year mengiktiraf projek yang memanfaatkan teknologi BIM dan digital bagi menghasilkan impak nyata terhadap kelestarian alam sekitar, kecekapan tenaga serta pembangunan industri yang lebih mampan.

Projek berimpak ini merupakan hasil penyelidikan dan kerjasama strategik antara BIM Centre UMPSA dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE), dengan pembiayaan daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias merakamkan penghargaan dan tahniah buat warga UMPSA, khususnya BIM Centre UMPSA.
“Kejayaan ini memperlihatkan bagaimana kepakaran dan penyelidikan yang dibangunkan di universiti mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar industri serta mendapat pengiktirafan pada peringkat nasional.
“Pencapaian ini turut memperkukuh peranan BIM Centre UMPSA – Centre for BIM Innovation & Knowledge Base sebagai hab yang menghubungkan kepakaran universiti, keperluan industri dan agenda transformasi digital sektor pembinaan negara.
“UMPSA mempunyai BIM Centre yang menguruskan ekosistem pembangunan bakat BIM dan Pembinaaan Digital di Malaysia,” ujarnya.
Selain itu katanya, ia juga berfungsi untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ekosistem dan transformasi pengetahuan terutamanya bagi mengaplikasikan penggunaan Building Information Modeling dalam melahirkan lebih ramai pakar terlatih.
Beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan penyelidik BIM Centre UMPSA dan setinggi-tinggi penghargaan kepada CREaTE JKR dan Kementerian Kerja Raya Malaysia atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Hadir dalam majlis, Pengarah Pusat Inovasi dan Pangkalan Ilmu Pemodelan Maklumat Bangunan, Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron dan Pengarah Pusat Perundingan, Pengkomersialan, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.
Disediakan Oleh: Hardiyana Mohd Saman, Pusat Bim, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi
- 13 views
Reports by: