UMPSA terima dana pembiayaan MOSTI berjumlah RM6,965,500 bagi projek EYE-TREE
CYBERJAYA, 24 November 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terima dana pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi projek EYE-TREE dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6,965,500 di bawah Dana Penyelidikan Strategik bagi projek ‘Development of Integrated Technologies for Efficient Recovery of Rare Earth Elements from Ionic Adsorption Clay (IAC) (EYE-TREE)’.
Majlis penyerahan dana itu disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Ts. Rushdi Abdul Rahim kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias bersempena dengan Seminar Mineral on Resources Technology (SMART) 2025 di MIGHT, Cyberjaya baru- baru ini.
Menurut Profesor Dr. Yatimah, projek ini merupakan salah satu initiatif di bawah National Advanced Materials Programme (NAMPRO) dengan kolaborasi bersama MIGHT selaku Agensi Pemantau dan Pelaksana (APP) bagi melaksanakan semua aktiviti berkaitan projek EYE-TREE dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6,965,500 daripada jumlah keseluruhan projek sebanyak RM15,000,000.

“Selain UMPSA, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut menerima dana penyelidikan tersebut.
“Dengan kepakaran yang dimiliki UMPSA menerusi ketua projek Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Yusri Mohd Yunus dan kumpulan penyelidik daripada Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang telah menjadi teras kepada pembangunan penyelidikan REE sejak 2013, kini bersedia untuk memperluas peranannya melalui kolaborasi bersama rakan-rakan strategik lain seperti MIGHT dan UMK.
“UMPSA akan menjalankan penyelidikan bersama yang berpotensi menghasilkan harta intelek dan produk komersial melalui dana penyelidikan nasional terutamanya dengan MOSTI,” ujarnya.
Tambahnya, geran ini bertujuan membangunkan teknologi bersepadu meliputi leaching mesra alam, pemisahan lanjutan dan teknologi penukaran logam bagi menyokong aspirasi nasional dalam rantaian nilai REE yang mampan dan berdaya saing.
Ini termasuklah perkongsian kepakaran teknikal, pembangunan program latihan dan akses bersama kepada fasiliti penyelidikan serta menganjurkan seminar, bengkel dan persidangan bersama bagi memupuk perkongsian ilmu yang berterusan.
Manakala tempoh pelaksanaan bagi projek ini adalah selama 36 bulan bermula pada 1 November 2025 di bawah Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT) UMPSA.
Turut sama hadir adalah Timbalan Setiausaha, Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T, MOSTI, Ts. Dr. Radin Zulhazmi Radin Abdul Halim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Pengarah Kanan, Center for Rare Earth & Critical Mineral, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Yusri Mohd Yunus.
Kolaborasi strategik ini bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi tinggi serta memastikan pengurusan sumber bumi negara dijalankan dengan penuh integriti dan tanggungjawab demi kelestarian masa depan Malaysia.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 57 views
Reports by: