UMPSA terima Geran Penyelidikan YPASM bernilai RM100,000
BANGI, 8 Disember 2025 - Pengarah Kanan Centre for Advanced Mobility & Aerospace Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Dr. Rizalman Mamat dianugerahkan geran penyelidikan berprestij, Dana Agensi Tahun 2025 sebanyak RM100,000 daripada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan berkenan berangkat menyampaikan anugerah dan menyempurnakan Majlis Peluncuran Sambutan Hari Antartika 2025.
Usaha tersebut selaras dengan komitmen strategik UMPSA terhadap tindakan iklim, khususnya dalam memperkasa penyelidikan teknologi hijau dan penyelesaian mampan bagi menangani krisis pemanasan global.
Menurut Profesor Dr Rizalman, dengan kajian bertajuk ‘Sustainable Green Hydrogen in Antarctica: A Techno-Economic and Environmental Feasibility Study for Extreme Cold Climate’, kajian ini memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian tenaga bersih yang mampu berfungsi dalam salah satu persekitaran paling ekstrem di dunia.
“Kajian ini bertujuan menilai kelayakan menjana dan menggunakan hidrogen hijau sebagai sumber tenaga untuk mengoperasikan stesen-stesen sains di Antartika.
“Selain itu, penyelidikan ini berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan membantu memelihara ekosistem rapuh di kawasan kutub, seterusnya menyumbang kepada usaha global memerangi perubahan iklim,” ujarnya.
Majlis mendapat kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Tenaga Nasional Berhad dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang berlangsung di Dewan Seri Saujana, UNITEN bertemakan ‘Antarctica Connect: Youth for the Poles’.
Dalam masa yang sama, UMPSA turut menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) di bawah inisiatif perkongsian pintar dalam mempromosikan dan menyokong penyelidikan kutub (Antartika dan Artik) bagi meningkatkan kehadiran Malaysia di rantau kutub yang menyumbang kepada pembangunan negara melalui pemahaman perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.
Pertukaran perjanjian kerjasama Smart Partnership Initiative (SPI) Kitaran Ketiga: 2026 – 2030 ini melibatkan 12 universiti bagi kerjasama merangkumi geran penyelidikan, skim fellowship dan sokongan logistik untuk saintis muda di Malaysia.
Hadir bertukar dokumen, Pengarah Pusat Penyelidikan, Profesor Madya Dr. Norhayati Rosli, mewakili UMPSA.
Menurut Profesor Madya Dr. Norhayati, kajian Antartika ini relevan untuk seluruh dunia terutamanya dalam soal perubahan iklim.
“Kerjasama ini sebagai simbol keamanan dan penanda aras iklim global, di samping menyokong usaha Malaysia dalam bidang penyelidikan saintifik dan kelestarian alam di benua ini,” katanya.
Penganjuran Hari Antartika 2025 peringkat nasional ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran golongan belia muda tentang kepentingan Antartika sebagai simbol keamanan dan penanda aras iklim global, di samping menyokong usaha Malaysia dalam bidang penyelidikan saintifik dan kelestarian alam di benua ini.
Turut berlangsung Forum: Peace, Science & Sustainability: Malaysia's Role in Antarctica yang ditonton serentak di universiti seluruh negara.
Seramai 100 orang pelajar UMPSA telah mengikuti secara dalam talian di Dewan Bankuet UMPSA Pekan yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA.
Disediakan Oleh; Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 22 views
Reports by: