Skip to main content

UMPSA terima TVET Industry Collaboration & Research Award 2026

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila menerima TVET Industry Collaboration & Research Award dalam Majlis Malaysia Education & TVET Awards 2026 yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program anjuran Education + TVET Asia itu mengiktiraf pencapaian institusi pendidikan yang cemerlang dalam memperkasakan agenda TVET negara menerusi kerjasama strategik bersama industri, kecemerlangan penyelidikan serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen berterusan UMPSA dalam membangunkan ekosistem TVET yang responsif terhadap keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menerajui agenda TVET Termaju di peringkat nasional dan antarabangsa.

Hadir menerima anugerah Penolong Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik), Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. 

Hadir sama Dekan Akademi TVET Termaju, Datuk Profesor Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani. 

UMPSA terima TVET Industry Collaboration & Research Award 2026

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mengucapkan tahniah buar warga UMPSA atas pencapaian ini. 

Ujarnya, pengiktirafan ini mencerminkan kesungguhan universiti dalam memperkukuh hubungan strategik dengan industri bagi memastikan pendidikan yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan masa kini.

“Anugerah ini merupakan satu penghormatan buat UMPSA dan seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam memperkasa agenda TVET negara melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi serta kolaborasi strategik bersama industri,” katanya. 

Beliau percaya bahawa kerjasama erat antara universiti dan industri merupakan kunci utama dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta era transformasi digital. 

Kejayaan itu turut membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Akademi TVET Termaju UMPSA dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Ini terbukti apabila graduan UMPSA semakin menjadi buruan utama industri, dengan kadar bekerja mencecah 97.2 peratus, selain peningkatan gaji dan permintaan majikan terhadap bakat berkemahiran teknikal yang dilahirkan universiti TVET berprestij ini.

Akademi TVET Termaju UMPSA berperanan sebagai platform yang menghubungkan institusi pendidikan, industri dan rakan strategik antarabangsa dalam pelaksanaan program pembangunan bakat, penyelidikan gunaan, inovasi serta pemindahan ilmu dan teknologi.

Melalui pelbagai kerjasama strategik yang dijalinkan, UMPSA terus memperkasakan agenda TVET berteraskan industri dengan memberi penekanan terhadap pembelajaran berasaskan pengalaman, pembangunan kompetensi serta penyelidikan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.

Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin kepada UMPSA untuk terus meneroka peluang kerjasama baharu, memperluas jaringan antarabangsa dan memperkukuh peranan universiti sebagai hab kecemerlangan TVET termaju di rantau ini.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan keupayaan UMPSA dalam melahirkan graduan yang kompeten, inovatif dan memenuhi keperluan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi teknologi terunggul yang memacu pembangunan modal insan negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri