Skip to main content

Monsun Timur Laut bermula minggu pertama November

KUANTAN - Monsun Timur Laut dijangka berlaku mulai minggu pertama bulan November sehingga Mac 2019 yang mengakibatkan empat hingga enam episod hujan di Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor dan Sarawak

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Alui Bahari berkata, keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan yang cenderung banjir dan kawasan rendah.

“Sekarang, negara sedang mengalami peralihan monsun dan dijangka berlaku sehingga penghujung Oktober. Kami menjangkakan bahawa bulan November sehingga Januari perlu dibimbangkan disebabkan keadaan angin yang lembap berbanding Febuari dan Mac yang mengalami angin kering.

“Dijangkakan Kelantan dan Terengganu akan mengalami hujan lebat pada bulan November sebelum turun ke Pahang dan Johor pada bulan Disember dan seterusnya akan menuju ke Sabah dan Sarawak pada bulan Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2018: Monsun Timur Laut 2018/1/2019 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Prof Madya Dr Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP, Dr Mohamad Idris Ali.

Dalam pada itu, Alui berkata, banjir kilat dan fenomena air pasang besar di Johor Bahru, Johor dan sebahagian Selangor semalam adalah antara kesan peralihan monsun yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga musim Monsun Timur Laut bermula bulan depan.

“Taburan hujan dan arah tiupan angin banyak mempengaruhi kejadian banjir kilat. Fenomena air pasang besar memang berlaku dan kita kena bersedia juga sebab ia terjadi dua kali dalam sebulan.

“Kalau ketika air pasang (besar) dan pada masa yang sama berlaku hujan lebat serta bertembung dengan tiupan angin kencang, memang akan berlaku banjir kilat akibat limpahan air sungai,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai agar peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan jabatan itu dan mematuhi garis panduan keselamatan.

“Saya sarankan orang ramai muat naik aplikasi MyCuaca yang dibangunkan MMD bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca, selain kejadian gempa bumi dan amaran tsunami.

“Setakat ini kira-kira 80,000 pengguna telefon mudah alih sudah menggunakan aplikasi berkenaan dan berharap ia dapat membantu mereka merancang pergerakan mereka setiap kali berlaku bencana alam, terutamanya banjir,” katanya.

Author
azwin