Skip to main content

Kejohanan 2026 Asian University Table Tennis Championship melabuhkan tirai, satukan mahasiswa asia melalui sukan

PAYA BESAR, 11 September 2026 – Kejohanan 2026 Asian University Table Tennis Championship melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang selepas lima hari berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Paya Besar yang menghimpunkan atlet universiti terbaik dari seluruh Asia dalam persaingan yang sengit dan penuh semangat kesukanan.

Majlis Penutupan kejohanan itu telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Agha Khilfi Suarno yang mewakili universiti mengisytiharkan penutupan rasmi kejohanan berprestij tersebut.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN University Sports Council (AUSC), Chiang Chai Liang, Bendahari AUSF, Profesor Ha Woong Yong, delegasi universiti, pegawai teknikal, sukarelawan dan para atlet yang mengambil bahagian.

Hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Kejohanan 2026 Asian University Table Tennis Championship melabuhkan tirai, satukan mahasiswa asia melalui sukan

Sepanjang kejohanan berlangsung, atlet dari negara China mendominasi beberapa kategori utama apabila muncul juara bagi acara berpasukan lelaki dan wanita, sekali gus membuktikan kekuatan tradisi negara itu dalam sukan tenis meja di peringkat universiti.

Bagi kategori Berpasukan Wanita, China meraih pingat emas diikuti Chinese Taipei yang membawa pulang pingat perak manakala Korea Republic A memenangi gangsa. 

Dalam kategori Berpasukan Lelaki, China sekali lagi muncul juara diikuti Chinese Taipei di tempat kedua dan Australia di tempat ketiga.

Dalam acara individu, pemain China turut menguasai kategori perseorangan dan beregu. 

Aige He dari China muncul juara Perseorangan Wanita, diikuti Ruyun Liu dari Chinese Taipei dan Sze Yu Luk dari Hong Kong China. 

Manakala bagi kategori Perseorangan Lelaki, pingat emas dimenangi Xuansong Yuan dari China, manakala rakan senegaranya Xuanyi Chen meraih perak dan Pin Han Wang dari Chinese Taipei memenangi gangsa.

Acara Beregu Wanita menyaksikan pasangan China, Aige He dan Hanshi Xing, merangkul kejuaraan, sementara pasangan Korea Republic B, Jinah Im dan Dain Yun, berada di tempat kedua. 

Pingat gangsa pula dimenangi pasangan China, Xinyu Wang dan Shufan Liu.

Dalam kategori Beregu Lelaki, pasangan China, Xuansong Yuan dan Jiecheng Luo, muncul juara selepas menewaskan pasangan Chinese Taipei, Pin Han Wang dan Junyou Chen yang membawa pulang pingat perak. 

Tempat ketiga menjadi milik pasangan Korea Republic A, Hyeonmin Lee dan Donghwan Kim.

Sementara itu, pasangan China, Junhang Fei dan Aige He, menjuarai kategori Beregu Campuran, manakala pasangan China, Jiecheng Luo dan Hanshi Xing meraih pingat perak. 

Gangsa pula dimenangi pasangan Hong Kong China, Hok Lung Soo dan Sze Yu Luk.

Selain kategori utama, acara konsolasi turut berlangsung bagi memberi peluang kepada atlet terus beraksi. Atlet Malaysia, Lim Wen Syin, muncul juara Perseorangan Wanita, manakala Chuan Kuan Chien menjuarai kategori Perseorangan Lelaki. Pasukan wanita Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menjuarai kategori Berpasukan Wanita.

Menurut pihak AUSF, kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sukan, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan persahabatan, persefahaman budaya dan jaringan kerjasama dalam kalangan mahasiswa Asia.

Pihak AUSF turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, jurulatih, pegawai teknikal, sukarelawan dan urus setia yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan kejohanan tersebut.

Penganjuran 2026 Asian University Table Tennis Championship di UMPSA sekali lagi membuktikan kemampuan universiti dalam menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa serta memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab kecemerlangan sukan universiti di rantau ini.

Kejohanan yang menghimpunkan wakil daripada sepuluh negara Asia itu diharap akan terus berkembang sebagai antara pertandingan tenis meja universiti paling berprestij di rantau ini, sekali gus meninggalkan kenangan bermakna dan membina jaringan persahabatan yang berkekalan dalam kalangan generasi muda Asia.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri