Kolaborasi strategik AUSC-FISU Oceania bakal perkasakan pembangunan sukan universiti negara
GENEVA, 18 November 2023 - Kolaborasi strategik antara ASEAN University Sports Council’s (AUSC) dan FISU Oceania bakal memperkasa pembangunan sukan universiti di negara ini.
Majlis menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed merangkap Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan juga Presiden ASEAN University Sports Council (AUSC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Presiden FISU Oceania, David Schumde yang diadakan bersempena penganjuran 38th FISU General Assembly.
FISU Oceania adalah sebuah pertubuhan sukan universiti bagi Oceania Regional yang ditubuhkan sejak 2008.
Ia mewakili sembilan buah negara seperti Australia (AUS), New Zealand (NZL), Cook Islands (COK), Federated States of Micronesia (FSM), Fiji (FIJ), Marshal Islands (MHL), Northern Mariana Islands (NMI), Papua New Guinea (PNG), dan Samoa (SAM).
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim, kerjasama ini bakal meluaskan hubungan antarabangsa di antara kedua-dua pihak meliputi penganjuran sukan, sains sukan dan kajian sukan.
“Dalam konteks pembangunan sukan negera, kolaborasi ini diharapkan dapat memberi manfaat pembangunan sukan terutamanya seperti sukan ragbi, bola sepak dan bola jaring di IPT negara ini.
“Selain itu, kerjasama ini juga bakal menjayakan program seiring dengan Strategi Global FISU dalam melestarikan pembangunan dan mempromosikan sukan universiti di rantau ini.
“Dalam pada itu, kedua-dua pihak juga akan mengadakan perkongsian pengalaman, penyelidikan dan latihan serta memberi pendedahan buat pelajar untuk terlibat dalam program pendidikan yang dapat dimanfaatkan bersama,” ujarnya.
Majlis MoU itu disaksikan oleh FISU Executive Committee Member, Martin Doultan dan Secretary General Asian University Sport Federation (AUSF), See Tow Cheng Fave serta wakil-wakil daripada negara ASEAN dan Oceania yang menghadiri 38th FISU General Assembly termasuklah wakil dari Singapura, Filipina, Thailand dan Cambodia.
Turut sama hadir Setiausaha Agung MASUM, Mohd Aznorizamin Haji Ismail yang juga merupakan Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA.
Disediakan oleh: Mohd Aznorizamin Haji Ismail, Pusat Sukan dan Kebudayaan
- 46 views