Skip to main content

UMPSA Gegarkan Kejohanan Sparring Showdown 2025 dengan Kutipan 16 Pingat

KOTA BHARU, 22 Disember 2025 – Kelab Tae Kwan Do (ITF) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam arena seni bela diri apabila berjaya mencuri tumpuan di Kejohanan Sparring Showdown 2025 di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. 

Kejohanan berprestij yang menghimpunkan atlet-atlet universiti dari seluruh negara itu menyaksikan kontinjen UMPSA tampil dengan semangat juang tinggi serta disiplin luar biasa, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti tersebut sebagai antara kuasa besar tae kwon do peringkat universiti.

Dalam kejohanan berkenaan, pasukan UMPSA berjaya membawa pulang keseluruhan 16 pingat merangkumi tiga pingat emas, lima pingat perak dan lapan pingat gangsa. 

Pencapaian membanggakan ini bukan sahaja mencerminkan tahap persediaan rapi para atlet, malah membuktikan keberkesanan latihan berterusan yang diterapkan oleh kelab dalam membentuk atlet yang seimbang dari segi teknik, mental dan fizikal.

Antara atlet paling menyerlah ialah pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) merangkap Pengarah Kelab ITF, Muhammad Naufal Ruzlan yang tampil cemerlang apabila meraih pingat emas dalam kategori Pattern, sekali gus membuktikan ketepatan teknik dan penguasaan seni pergerakan yang tinggi.

UMPSA Gegarkan Kejohanan Sparring Showdown 2025 dengan Kutipan 16 Pingat

 

Kejayaan beliau tidak terhenti di situ apabila turut menyumbang dua lagi pingat gangsa menerusi acara sparring individu dan sparring berpasukan, menjadikan beliau antara penyumbang pingat terbanyak kepada kontinjen UMPSA.

Turut mencuri perhatian ialah pelajar Fakulti Kejuteraan Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Muhammad Muizzuddin Ahmad Zol yang mempamerkan ketangkasan serta strategi perlawanan yang kemas apabila menjuarai kategori sparring untuk meraih pingat emas. 

Beliau kemudiannya menambah koleksi pingat dengan memenangi perak dalam acara pattern dan gangsa dalam sparring berpasukan, sekali gus menampilkan konsistensi prestasi sepanjang kejohanan berlangsung.

Dalam kategori wanita, atlet UMPSA tidak kurang hebatnya apabila pelajar Fakulti Komputeran (FK), Nur Shahira Mohd Sufian tampil sebagai antara srikandi paling menyerlah. 

Beliau berjaya merangkul pingat emas dan perak dalam acara sparring individu hasil aksi agresif tetapi terkawal, selain turut menyumbang pingat gangsa dalam kategori pattern. 

Rakan sepasukan beliau, pelajar FK, Nur Nisa Qaisara Mohd Ruslan pula menyumbang dua pingat perak menerusi acara pattern dan sparring, sekali gus memperlihatkan keupayaan teknikal yang mantap serta semangat juang tinggi di atas gelanggang.

Pelajar FK, Puteri Nur Aleeya Mior Shahril Nizam turut menyumbang kepada kejayaan pasukan wanita apabila meraih dua pingat gangsa masing-masing dalam kategori pattern dan sparring. 

Sumbangan ini melengkapkan kejayaan barisan atlet wanita UMPSA yang tampil konsisten sepanjang kejohanan.

Selain itu, kejayaan UMPSA turut diperkukuh dengan sumbangan pingat daripada beberapa atlet lain termasuk pelajar FTKPM, Ahmad Mu’az Aiman Abdul Halim yang meraih pingat perak dalam acara sparring dan gangsa dalam sparring berpasukan, serta pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Jeggades Vengadesan yang turut membawa pulang perak dalam sparring dan gangsa dalam acara berpasukan. 

Pelajar FK, Asyraf Hasnain Awalludin pula menyumbang pingat gangsa dalam sparring, manakala pelajar FTKPM, Muhammad Adam Hairul Nizam dan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Azam Danial Saidin masing-masing menambah koleksi pingat gangsa dalam kategori pattern.

Menurut penasihat kelab merangkap Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA, kejayaan yang diraih adalah hasil daripada disiplin tinggi, kesungguhan serta semangat tidak kenal erti putus asa yang ditunjukkan oleh setiap ahli kelab sepanjang tempoh latihan dan pertandingan. 

“Kontinjen UMPSA hadir ke Kota Bharu dengan satu misi yang jelas dan pulang dengan rasa bangga atas usaha kolektif seluruh pasukan.

“Kejayaan cemerlang di Kejohanan Sparring Showdown 2025 ini dijangka menjadi pemangkin semangat buat Kelab ITF UMPSA untuk terus memperkemaskan latihan serta memperluas penyertaan dalam kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

“Pencapaian ini juga selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan pelajar yang seimbang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam bidang kokurikulum dan sukan berprestasi tinggi,” katanya. 

Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri