UMPSA himpun atlet universiti terbaik dalam Asian University Table Tennis Championship
PAYA BESAR, 6 September 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan reputasinya di persada antarabangsa apabila menjadi tuan rumah 2026 Asian University Table Tennis Championship, kejohanan tenis meja universiti paling berprestij yang berlangsung dari 5 hingga 11 September 2026 di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Paya Besar.
Kejohanan itu menghimpunkan seramai 104 atlet dan pegawai daripada sepuluh negara dan wilayah iaitu Brunei Darussalam, Chinese Taipei, Hong Kong, Mongolia, Nepal, China, Korea Selatan, Australia, Malaysia dan Kuwait yang bersaing dalam pelbagai kategori pertandingan.
Majlis pembukaan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah yang seterusnya mengisytiharkan pembukaan rasmi kejohanan tersebut.
Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN University Sports Council (AUSC), Chiang Chai Liang dan Bendahari Asian University Sports Federation (AUSF), Profesor Ha Woong Yong serta delegasi universiti, pegawai teknikal dan atlet yang mengambil bahagian.

Menurut Chiang Chai Liang, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kejuaraan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi serta memupuk semangat persahabatan dan persefahaman rentas budaya dalam kalangan mahasiswa Asia.
“Sukan ini bukan hanya mengenai kemenangan dan pingat. Ia adalah platform untuk membentuk nilai disiplin, hormat-menghormati, kerja berpasukan, ketahanan diri dan kepimpinan.
“Di luar gelanggang, para atlet berpeluang membina persahabatan dan memahami budaya antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penganjuran kejohanan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan UMPSA dalam menyediakan kemudahan, prasarana dan ekosistem yang menyokong penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.
“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan keupayaan UMPSA sebagai institusi pengajian tinggi yang mampu mengendalikan acara di peringkat antarabangsa, malah memberikan pengalaman berharga kepada warga universiti untuk berinteraksi dengan atlet dan delegasi dari pelbagai negara.
“Pada masa yang sama, kejohanan ini menjadi platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi antarabangsa dan memperkenalkan UMPSA sebagai destinasi penganjuran acara sukan universiti di peringkat global.
“Malah, penganjuran kejohanan itu sebagai selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat mahasiswa secara holistik melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kesukanan,” ujarnya.
Majlis pembukaan berlangsung penuh warna-warni dengan perarakan kontinjen negara peserta, persembahan sambutan, lafaz ikrar atlet dan pengadil serta persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
Kejohanan Asian University Table Tennis Championship sebelum ini pernah dianjurkan di Hong Kong pada tahun 2010 dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2013.
Pemilihan UMPSA sebagai tuan rumah bagi edisi 2026 mencerminkan keyakinan komuniti sukan universiti Asia terhadap keupayaan universiti ini dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.
Selain menyaksikan persaingan sengit atlet universiti terbaik Asia, kejohanan ini turut membuka peluang kepada warga UMPSA dan masyarakat setempat untuk menyaksikan aksi tenis meja bertaraf antarabangsa secara lebih dekat, sekali gus memeriahkan landskap sukan universiti negara.
Penganjuran kejohanan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan antara institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa, selain memperkenalkan UMPSA dan negeri Pahang sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara sukan serta program akademik bertaraf global.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 16 views
Reports by: