Skip to main content

127 orang kadet UMPSA, UMT dan UniMAP terima pentauliahan sebagai Leftenan Muda PASKAM

PEKAN, 5 September 2026 - Empat semester menempuh latihan, menguji ketahanan fizikal dan mental serta membina disiplin akhirnya membawa 127 Pegawai Kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) ke satu detik penuh bermakna apabila mereka ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Lebih istimewa, pentauliahan tersebut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya dilaksanakan secara bersama melibatkan tiga universiti awam (UA), iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026 ini berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 49 kadet UMPSA, 30 kadet UMT dan 48 kadet UniMAP ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Sehingga kini, kekuatan kadet aktif PASKAM di tiga UA ini berjumlah 240 orang yang terdiri daripada 94 kadet di UMPSA, 65 orang di UMT dan 81 orang di UniMAP.

127 orang kadet UMPSA, UMT dan UniMAP terima pentauliahan sebagai Leftenan Muda PASKAM

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), YBrs. Laksamana Madya (M) Mohd Zawawi Abdullah, pencapaian tersebut bukan sekadar menggambarkan kejayaan menamatkan latihan, malah menjadi titik penting dalam pembentukan generasi muda yang mempunyai disiplin, jati diri, kepimpinan dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada negara.

“Sepanjang empat semester latihan, pelatih telah melalui pelbagai bentuk latihan dan pembelajaran yang menuntut ketahanan fizikal, kekuatan mental, disiplin serta kerjasama berpasukan.

“Pelatih bukan sahaja belajar untuk menjadi seorang kadet, sebaliknya dilatih untuk memahami tanggungjawab, kepimpinan, kesetiaan, keberanian dan khidmat kepada masyarakat serta negara.

“PASKAM turut menjadi platform penting untuk mendekatkan mahasiswa dengan dunia maritim, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan, disiplin serta tanggungjawab menjaga kepentingan dan kedaulatan negara di laut,” ujarnya. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penganjuran majlis secara bersama melibatkan tiga UA itu merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan PASKAM di institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.

127 orang kadet UMPSA, UMT dan UniMAP terima pentauliahan sebagai Leftenan Muda PASKAM

“PASKAM yang ditubuhkan pada 21 September 2016 kini telah melalui hampir satu dekad pembangunan dan berkembang daripada sebuah inisiatif pembentukan mahasiswa melalui disiplin dan latihan maritim kepada wadah pembangunan kepimpinan mahasiswa.

“PASKAM bukan sekadar berkaitan kawad, pakaian seragam atau latihan fizikal, sebaliknya membentuk mahasiswa supaya menghormati masa, memahami arahan, mengutamakan koordinasi serta membina kepercayaan dan semangat berpasukan.

“Seorang pemimpin ialah orang yang bersedia berada di hadapan ketika tanggungjawab perlu dipikul,” katanya. 

Tambah beliau lagi, inilah ciri graduan yang ingin kita lahirkan, iaitu graduan berpengetahuan, mempunyai sahsiah dan ketahanan diri yang tinggi, matang dalam membuat keputusan, berintegriti dan berani untuk memimpin. 

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed turut menyifatkan kerjasama UMPSA dan APMM sebagai satu ekosistem yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan insan, malah turut memperkukuh pembangunan ilmu.

“Penerbitan buku OP NAGA BARAT, Analisis Strategi, Ekonomi dan Pendakwaan dari Perspektif APMM merupakan antara manifestasi hubungan strategik tersebut.

“Penerbitan itu juga membuka ruang pemahaman terhadap keselamatan maritim dengan menghubungkaitkan aspek ekonomi, kedaulatan negara, perundangan serta keupayaan membuat keputusan secara strategik.

“Saya berharap hubungan UA bersama APMM terus diperkasakan melalui pendidikan, latihan profesional, penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi, penerbitan ilmiah dan pembangunan bakat,” jelasnya. 

127 orang kadet UMPSA, UMT dan UniMAP terima pentauliahan sebagai Leftenan Muda PASKAM

Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan para Leftenan Muda PASKAM supaya sentiasa menjaga nama baik PASKAM dan universiti masing-masing.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan para kadet, selain menghargai jasa jurulatih, pegawai penyelaras, tenaga pengajar dan urus setia yang membimbing mereka sepanjang tempoh latihan.

Dengan pentauliahan 127 Leftenan Muda PASKAM ini, Pasukan Kadet Maritim Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai platform pembangunan bakat mahasiswa yang bukan sahaja berdisiplin dan berintegriti, malah mempunyai semangat patriotisme serta kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan kedaulatan maritim negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri