15 pelajar UMPSA teroka budaya, teknologi dan kehidupan komuniti Islam di Jepun
ASAKUSA, JEPUN, 7 Oktober 2024 - Seramai 15 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai pelbagai aktiviti menarik di Jepun melalui program mobiliti antarabangsa Electro-Explore@Japan dari 1 hingga 7 Oktober 2024 baru-baru ini.
Program itu bertujuan untuk memperluaskan pendedahan pelajar terhadap budaya, teknologi, dan kehidupan komuniti Islam di negara tersebut.
Ia melibatkan seramai 11 orang pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan empat orang pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Program itu diketuai oleh Nadia Munif dari program Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dan diiringi oleh Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Profesor Madya Ts. Dr. Norashikin Mat Zain.
Pelajar-pelajar memulakan aktiviti mereka dengan menyertai acara kebudayaan di Asakusa, Jepun.
Malah, mereka juga berpeluang memakai pakaian tradisional Yukata dan Kimono serta melawat kawasan bersejarah yang terkenal dengan seni bina tradisional.
Aktiviti itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada warisan budaya luar negara dan menanamkan rasa hormat serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di dunia.
Selain dapat merasai sendiri pengalaman hidup dalam suasana tradisional Jepun, para pelajar juga diberi peluang berinteraksi dengan masyarakat tempatan, memberi mereka perspektif yang lebih luas mengenai kehidupan di negara lain.
Menurut Pengarah Program, Nadia Munif, pengalaman seperti ini akan menggalakkan para pelajar untuk lebih terbuka dan berminat dalam meneroka budaya antarabangsa.
“Seterusnya, para pelajar UMPSA turut menghadiri kursus peningkatan diri di Shibaura Institute of Technology (SIT) yang terletak di dua kampus berbeza, iaitu di Kampus Toyosu dan Kampus Omiya.
“Aktiviti ini memberi mereka peluang untuk melawat makmal penyelidikan canggih yang terdapat di institusi tersebut, di samping terlibat dalam perbincangan ilmiah.
“Perbincangan tersebut bukan sahaja menyentuh mengenai bidang teknologi dan penyelidikan, tetapi juga membina jalinan akademik yang berpotensi untuk mencetuskan kerjasama masa hadapan antara UMPSA dan SIT,” ujarnya.
Di samping iutu juga, pelajar UMPSA mendapat pendedahan secara langsung kepada inovasi-inovasi teknologi terkini, memberi mereka pandangan yang lebih mendalam mengenai peranan penyelidikan dan teknologi dalam pembangunan global.
Profesor Madya Dr. Shahrol Mohamad dari Kampus Toyosu dan Profesor Madya Dr. Azham Zulkharnain dari Kampus Omiya turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang teknologi dengan para pelajar UMPSA.
Menurut Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, melihat perkembangan teknologi yang diterapkan di SIT, beliau percaya bahawa inovasi adalah kunci untuk memecahkan batasan global.
“Melalui pengalaman ini, pelajar kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana penyelidikan yang berkesan mampu membentuk masa depan teknologi dan memberi manfaat kepada masyarakat global.
“Sebagai sebahagian daripada aktiviti untuk memahami kepelbagaian agama dan budaya, pelajar-pelajar UMPSA juga berkesempatan untuk melawat Masjid Otsuka, salah satu masjid yang tertua di Jepun.
“Di sana, mereka mendengar perkongsian inspirasi daripada Setiausaha Agung Masjid Otsuka Haroon Qureshi, yang berkongsi pengalaman hidupnya sebagai seorang Muslim di Jepun,” katanya.
Beliau juga turut memberikan nasihat berguna kepada pelajar, khususnya berkaitan kehidupan sebagai umat Islam di negara yang bukan majoriti Muslim.
Selain itu, pelajar turut melawat sekolah dan tadika Islam pertama di Jepun, yang memberi mereka gambaran mengenai perkembangan pendidikan Islam di negara tersebut.
Pengalaman ini bukan sahaja membuka mata pelajar terhadap kehidupan komuniti Islam di luar negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada mereka untuk lebih menghargai kepelbagaian budaya dan agama yang wujud di peringkat global.
Manakala menurut Profesor Madya Ts. Dr. Norashikin Mat Zain, mempelajari kepelbagaian agama dan budaya ini bukan hanya penting untuk mendalami nilai-nilai antarabangsa, tetapi juga penting untuk membentuk pelajar yang berintegrasi dan empati, sesuatu yang sangat diperlukan dalam dunia global yang pelbagai.
“Pengalaman ini membolehkan mereka melihat dunia dari perspektif yang lebih luas, memupuk sikap saling hormat dan memahami antara komuniti yang berbeza.
“Dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh sepanjang program Electro-Explore@Japan, para pelajar UMPSA dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari dalam usaha menjadi pemimpin masa hadapan yang berwawasan, berintegrasi, dan mampu menghadapi cabaran di peringkat global.
“Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada aspek akademik dan penyelidikan, tetapi juga memupuk nilai kemahiran insaniah dan penghargaan terhadap kepelbagaian antarabangsa,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Muhammad Aizat Azed, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni
- 135 views