Skip to main content

150 pelajar baharu terima Insentif Kecemerlangan UMPSA

GAMBANG, 29 September 2024 - Seramai 150 pelajar lepasan diploma, matrikulasi, politeknik, Kolej Vokasional dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih untuk mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA bagi sesi akademik pada tahun ini.

Turut menerima manfaat ini seramai 30 orang pelajar penerima Bantuan Insentif Pendidikan dan 12 orang pelajar penerima Bantuan Komputer Riba bagi pelajar dari Keluarga B40 yang melanjutkan pelajaran ke ijazah sarjana muda di universiti ini. 

Inisiatif ini merupakan usaha berterusan Yayasan UMPSA dalam menyokong kecemerlangan akademik pelajar UMPSA. 

Hadir menyampaikan sumbangan Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan UMPSA Prihatin 2024. 

150 pelajar baharu terima Insentif Kecemerlangan UMPSA

Turut sama hadir Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Ir. Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Dato’ Ahmad Hairi Hussain, Dato' Sri Ahmad Fuaad Kenali dan Farah Ain Madzlan. 

Menurut Dato' Seri Abdul Razak, Yayasan UMPSA dengan tema ‘Pilih untuk Berkongsi’ komited dalam menyokong pendidikan dan kebajikan pelajar. 

“Sebagai sebuah organisasi yang fokus kepada kesejahteraan pelajar, UMPSA dan Yayasan sentiasa memastikan tiada pelajar yang tercicir dari segi bantuan kewangan atau sokongan moral,” katanya.

“Bantuan Insentif Pendidikan diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan, menghadapi masalah kewangan untuk menyambung pelajaran di universiti manakala Insentif Kecemerlangan pula diberikan kepada mereka yang telah memilih UMPSA sebagai pilihan pertama dan menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang.
“Pihak universiti merakamkan penghargaan buat pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ekuiti Nasional, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan mereka dalam memastikan bantuan dapat disampaikan kepada seramai 420 pelajar yang memerlukan.

Turut serta dalam program Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, dan Bendahari, Dato’ Zainudin Othman.

Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Binti Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri