150 pelajar baharu terima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP
PEKAN, 14 Januari 2022 – Seramai 150 pelajar lepasan diploma, matrikulasi, politeknik dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih menyambung pengajian di Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP bagi sesi akademik 2021/2022 pada tahun ini.
Yayasan UMP turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar terutamanya daripada keluarga B40 dan berkeperluan untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang yang diceburi sehingga menamatkan pengajian kelak.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, insentif ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar untuk sentiasa berusaha dalam meraih kecemerlangan dalam pembelajaran.
“Selain itu, universiti dapat melahirkan graduan yang cemerlang, kompeten dan kebolehpasaran yang tinggi.
“Penerima insentif juga turut berpeluang untuk memohon Biasiswa Yayasan UMP yang akan dibuka pada semester hadapan.
“Sekiranya pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan semester akan datang mereka juga boleh menjadi penerima Insentif Kecemerlangan (Platinum) Yayasan UMP yang berjumlah RM500,” katanya dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP yang diadakan secara dalam talian.
Bagi pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Tengku Nur Syahirah Tengku Mohamad Nordin, 21, begitu teruja dan tidak menyangka terpilih menjadi salah seorang penerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMP.
Anak kelahiran Kemaman Terengganu itu juga menyatakan bahawa wang insentif yang berjumlah RM1,000 ini akan digunakan bagi tujuan pengajian.
Sementara itu, Muhammad Arif Hairqal Mohamad Nasir, 20 yang merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Johor dan kini menyambung pengajian dalam program Dual Ijazah Kejuruteraan Mekatronik mengucapkan rasa bersyukur dan amat menghargai atas pemberian insentif kecemerlangan ini.
Katanya, pastinya ini akan memberi semangat buat pelajar untuk kekal cemerlang dan bangga menjadi sebahagian daripada keluarga UMP.
Begitu juga Kishen a/l Supermaniam, 20 melahirkan perasaan gembira dan akan terus berusaha untuk mengekalkan kecermerlangan.
Manakala pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Saifullah Abd Aziz, 20 menzahirkan rasa syukur atas bantuan insentif yang diterima daripada Yayasan UMP.
Ujarnya, meskipun majlis ini hanya dilaksanakan secara maya melalui platform Zoom Meeting namun, ini merupakan satu penghargaan buat beliau yang baru sahaja bergelar sebagai mahasiswa UMP.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan UMP atas sumbangan yang diberikan dan berharap agar usaha ini dapat diteruskan lagi serta dicontohi oleh institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain.
“Usaha ini akan dapat memberikan semangat kepada saya untuk lebih berusaha menjadi calon penerima Biasiswa Yayasan UMP pada masa akan datang sekali gus mencapai cita-cita untuk menjadi graduan yang berjaya,” katanya.
Disediakan oleh: Mohd. Jamil Mohd. Jaafar, Yayasan UMP
- 605 views