Skip to main content

17 pelajar UMPSA timba ilmu teknologi solar di China

HEBEI, CHINA, 28 Julai 2026 – Seramai 17 orang pelajar daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama seorang pensyarah pengiring, Dr. Aini Norhidayah Mohamed telah berjaya menamatkan penyertaan dalam Summer School Program anjuran Hebei University, China yang berlangsung dari 15 hingga 28 Julai 2026.

Penyertaan delegasi UMPSA ke program tersebut diselaraskan melalui Confucius Institute (CI) UMPSA.

Program itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama akademik antara UMPSA dan Hebei University serta memperluaskan peluang mobiliti antarabangsa kepada pelajar.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada bidang fotovoltaik dan teknologi tenaga solar melalui siri kuliah, lawatan akademik serta sesi pembelajaran bersama pakar industri. 

Pendedahan tersebut memberi peluang kepada pelajar memahami perkembangan terkini dalam teknologi tenaga boleh baharu serta aplikasinya dalam pembangunan mampan.

Selain mengikuti pengisian akademik, para peserta turut berpeluang mendalami budaya masyarakat Cina menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan seperti seni simpulan Cina (Chinese knot), kaligrafi, seni mempertahankan diri (martial arts), serta penyediaan dan pengenalan masakan tradisional Cina. 

Aktiviti ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah meningkatkan kefahaman peserta terhadap warisan budaya dan nilai masyarakat Cina.

17 pelajar UMPSA timba ilmu teknologi solar di China

Sebagai sebahagian daripada program, delegasi turut mengadakan lawatan ke Xiong'an New Area, sebuah bandar baharu yang dibangunkan sebagai hab pembangunan pintar dan lestari di China. 

Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta melihat secara langsung perancangan bandar moden, penggunaan teknologi pintar serta pendekatan inovatif yang diterapkan dalam pembangunan bandar masa hadapan.

Menurut Pengarah Confucius Institute (CI) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon, program seperti ini merupakan platform penting dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti melalui kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi (IPT) di China.

“Program Summer School ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar UMPSA untuk menimba ilmu dalam bidang teknologi tenaga boleh baharu, malah memberi pengalaman pembelajaran antarabangsa yang amat bernilai melalui pendedahan kepada budaya, inovasi dan persekitaran akademik di China. 

“Pengalaman ini mampu melahirkan graduan yang lebih berdaya saing, berfikiran global dan mempunyai keupayaan untuk beradaptasi dalam persekitaran antarabangsa. 

“Confucius Institute UMPSA akan terus komited memperluas peluang mobiliti akademik seperti ini demi memperkukuh hubungan strategik antara UMPSA dan IPT di China," ujarnya. 

Beliau turut berharap agar kerjasama erat antara UMPSA dan Hebei University dapat diteruskan melalui pelaksanaan lebih banyak program mobiliti akademik, penyelidikan bersama serta pertukaran pelajar yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Sementara itu, salah seorang peserta program, Muhammad Asyraaf Kursi, menyifatkan penyertaannya dalam Summer School Program di Hebei University sebagai satu pengalaman yang amat bermakna dan membuka peluang untuk menimba ilmu serta mengenali budaya China dengan lebih dekat.

"Melalui program ini, saya berpeluang memperoleh ilmu dan pengalaman baharu berkaitan teknologi sel solar atau fotovoltaik secara teori dan praktikal. 

“Sepanjang dua minggu di Baoding, Hebei, China, saya dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai tenaga boleh diperbaharui serta teknologi solar yang semakin berkembang. 

“Selain itu, saya turut berpeluang mengenali budaya China melalui pelbagai aktiviti seperti menikmati makanan tradisional, seni guntingan kertas, aktiviti melukis dan menulis, latihan seni mempertahankan diri serta kelas Bahasa,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pengalaman ini bukan sahaja meluaskan pengetahuan saya dalam bidang teknologi, malah turut memperkayakan pemahaman saya terhadap budaya, nilai dan kehidupan masyarakat China. 

Program ini juga turut mencerminkan komitmen Confucius Institute UMPSA dalam menyokong agenda pengantarabangsaan universiti melalui penyelarasan program mobiliti akademik bersama institusi rakan strategik di China. 

Melalui kerjasama erat antara UMPSA dan Hebei University, program ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan pelajar dalam bidang tenaga boleh baharu, malah memperluaskan perspektif global, meningkatkan kompetensi antara budaya serta mengeratkan hubungan akademik dan persahabatan antara Malaysia dan China.

Disediakan Oleh: Chm. Dr. Aini Norhidayah Mohamed, Fakulti Sains dan Teknologi Industri dan Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon, Confucius Institute

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri