2 pelajar UMPSA dilantik sebagai Duta Kampus Mynext Talentcorp
KUALA LUMPUR, 13 FEBRUARI 2026 – Dua orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melakar kecemerlangan dalam bidang kepimpinan apabila secara rasmi dilantik sebagai MyNext Campus Ambassador (Duta Kampus MyNext) di bawah inisiatif TalentCorp Malaysia selepas berjaya menamatkan MyNext Campus Ambassador Bootcamp pada 11 hingga 13 Februari 2026.
Mereka adalah Ahmad Amirul Irfan bin Ahmad Saupi dan Neellesh Ram Saravanan.
Program intensif itu menghimpunkan pelajar-pelajar terpilih dari seluruh negara dan memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pembangunan bakat, kepimpinan, serta keperluan industri semasa.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar UMPSA untuk bersaing dan menyerlah pada peringkat kebangsaan, khususnya dalam program berprestij yang menekankan pembangunan modal insan masa depan.
Pelantikan Duta Kampus MyNext adalah bertujuan melahirkan pemimpin mahasiswa yang mampu menjadi penghubung strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri.
Peranan Duta Kampus MyNext bukan sahaja sebagai wakil rasmi TalentCorp di kampus, tetapi juga sebagai ejen perubahan yang akan membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan perancangan kerjaya dan pembangunan bakat sejak di bangku universiti.
Sebagai Duta Kampus MyNext, Ahmad Amirul Irfan dan Neellesh Ram Saravanan akan memikul tanggungjawab besar sebagai ‘suara’ TalentCorp di UMPSA.
Mereka berperanan menjadi jambatan penghubung yang merapatkan jurang di antara mahasiswa dengan pihak industri, di samping membantu rakan-rakan pelajar memahami kehendak pasaran kerja semasa.
Menurut Ahmad Amirul Irfan, peluang yang diberikan ini merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan.
“Saya melihat peranan ini sebagai platform untuk membantu rakan-rakan mahasiswa mengenal pasti potensi diri dan membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” ujarnya.
Sementara itu, Neellesh Ram Saravanan turut menyatakan komitmennya untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.
“Saya berharap dapat memainkan peranan aktif dalam mempromosikan penggunaan platform MyNext dalam kalangan mahasiswa.
“Platform ini sangat membantu dalam membina profil bakat serta membuka peluang kepada latihan industri yang lebih strategik,” katanya.
Platform MyNext merupakan inisiatif penting dalam membantu mahasiswa mengenal pasti potensi diri melalui ujian psikometrik, membina profil bakat secara sistematik, serta meneroka peluang latihan industri yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing.

Usaha ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri semasa.
Penglibatan proaktif delegasi UMPSA dalam program berprestij peringkat kebangsaan ini adalah sangat bertepatan dengan aspirasi universiti.
Ia mencerminkan dedikasi UMPSA dalam melahirkan graduan yang holistik, proaktif, dan mempunyai persediaan yang rapi sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Diharapkan kecemerlangan dan inisiatif yang ditunjukkan oleh mereka akan mencetuskan inspirasi buat seluruh pelajar UMPSA untuk terus memperkasakan laluan kerjaya masing-masing.
Disediakan Oleh: Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, Majlis Perwakilan Pelajar
- 96 views
Reports by: