Skip to main content

27 pelajar mobiliti UMPSA diraikan dengan penuh makna

KUANTAN, 25 Jun 2025 – Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti (CISMO), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Perpisahan Pelajar Mobiliti Semester II 2024/2025 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan bermakna di Restoran Al-Dante, Kuantan.

Majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan 27 pelajar mobiliti antarabangsa yang telah menamatkan tempoh pengajian singkat mereka di UMPSA dan memperingati ikatan persahabatan serta pengalaman budaya yang telah dikongsi sepanjang berada di Malaysia.

Dengan tema ‘White & Denim’ yang menggambarkan kesederhanaan namun bergaya, majlis turut diserikan dengan kehadiran pelajar dari pelbagai negara seperti Filipina, India, Indonesia, Yaman, Jerman, Ethiopia, Bangladesh dan China. 

Pengarah CISMO, Noor Syahidah Sabran dalam ucapan penutupnya menekankan bahawa program mobiliti bukan sahaja bersifat akademik, malah memperkukuh jaringan antarabangsa dan memupuk nilai perpaduan global.

Majlis turut diserikan dengan aktiviti kebudayaan seperti anyaman tikar tradisional yang memberi peluang kepada pelajar untuk lebih menghargai warisan Malaysia. 

Sijil penghargaan dan cenderamata eksklusif turut disampaikan kepada para pelajar sebagai tanda kenangan.

Manakala menurut pelajar dari Saint Louis University Filipina, Francheska V. Elilio, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) menyatakan pengalaman di UMPSA amat berharga dan akan terus terpahat dalam ingatan. 

“Saya bukan sahaja menimba ilmu tetapi turut mengenali pelbagai budaya dan menjalin persahabatan yang tidak ternilai bersama rakan-rakan dari pelbagai negara,” ujarnya.

Wakil pelajar dari Kongu Engineering College India, Aruchamy Sathyabama Nirmal Vimudhan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) turut mengambil peluang berkongsi kenangan manis sepanjang penglibatannya dalam program mobiliti. 

Katanya, momen ini mengukuhkan semangat perpaduan dan penghayatan terhadap keunikan budaya Malaysia, walaupun beliau datang dari latar budaya yang berbeza,katanya.

Walaupun tempoh pengajian mereka di Malaysia singkat, namun pengalaman yang diraih memberi kesan mendalam yang akan terus dikenang. 

Perpisahan pada petang itu diselubungi emosi dan air mata, mencerminkan keakraban dan nilai persahabatan yang telah terjalin.

Program mobiliti ini jelas membuktikan bahawa perbezaan budaya bukanlah halangan, malah menjadi kekuatan dalam membentuk generasi global yang lebih memahami, berdaya saing, dan bersatu.

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pusat Pelajar Antarabangsa dan Mobiliti (CISMO)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News