Skip to main content

28 MPP baharu UMPSA angkat sumpah tunai kewajiban, perkukuh demokrasi kampus

KUANTAN, 10 Disember 2025 -  Kematangan demokrasi kampus di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyerlah apabila Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026 berlangsung dengan penuh simbolik kepimpinan malam ini di Grand Darul Makmur Hotel. 
 
Majlis menyaksikan Bacaan Sumpah Jawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026, diikuti dengan Sesi Menandatangani Aku Janji MPP yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua MPP, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani sebagai komitmen rasmi terhadap amanah dan tanggungjawab kepimpinan mahasiswa bersama-sama 28 orang MPP baharu.

27 MPP baharu UMPSA angkat sumpah tunai kewajiban, perkukuh demokrasi kampus

Majlis disempurnakan Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias yang menekankan bahawa proses pemilihan mahasiswa kini menjadi manifestasi budaya kepimpinan yang matang dan progresif di UMPSA.
 
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pemilihan MPP yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Pemilihan MPP 2025/2026, Maryam Mohamad Jais kerana berjaya melaksanakan proses pemilihan secara profesional, teratur dan mematuhi piawaian integriti universiti. 
 
“Kejayaan ini mencerminkan keyakinan universiti terhadap kemampuan mahasiswa dalam mengurus demokrasi kampus secara bebas dan telus. 
 
“Pencapaian membanggakan turut direkodkan apabila peratusan keluar mengundi meningkat kepada 63.36 peratus melibatkan 8,547 mahasiswa, berbanding 7,193 pada tahun lepas.

“Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya menandakan kesedaran politik kampus yang matang serta kepercayaan mahasiswa terhadap impak suara mereka dalam membentuk hala tuju universiti,” katanya. 
 
Beliau juga turut  mengiktiraf pencapaian MPP sesi 2024/2025 yang dipimpin oleh Muhammad Haykal Halid. 
 
“Kepimpinan terdahulu berjaya memperkukuh jaringan kerjasama dengan pengurusan universiti, menangani isu kebajikan pelajar dan melaksanakan pelbagai program pembangunan mahasiswa. 
 
“Dalam aspek tadbir urus kewangan, barisan MPP terdahulu menunjukkan prestasi cemerlang dengan mengurus dana luar lebih RM300 ribu melalui kerjasama strategik, penajaan dan inisiatif kolaboratif. 
 
“Lebih mengagumkan, MPP menyediakan 4,765 halaman dokumen audit kewangan, satu rekod yang menandakan ketelusan dan profesionalisme luar biasa, selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2024. 
 
“Selain itu, MPP turut berjaya menjana RM81,957.12 melalui aktiviti universiti, program pelajar berimpak tinggi, dan inisiatif keusahawanan,” ujarnya. 
 
Menjunjung prinsip inklusiviti, Profesor Dr. Yatimah mengumumkan pelantikan MPP Eksekutif Inklusif iaitu seorang wakil mahasiswa kelainan upaya (OKU) sebagai ahli kabinet MPP yang sah. 
 
“Pelantikan ini menandakan komitmen UMPSA untuk memastikan setiap mahasiswa, termasuk mereka yang berbeza upaya, didengar dan diambil kira dalam pembuatan dasar dan program pembangunan pelajar. 
 
“Langkah ini adalah manifestasi prinsip ‘tiada siapa tertinggal’ yang menjadi teras nilai universiti. 
 
“Kehadiran wakil OKU dijangka memperkukuh perwakilan mahasiswa, memastikan cabaran dan aspirasi mereka disuarakan dengan lebih terancang dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya. 
 
Beliau juga menyampaikan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan MPP baharu Sesi 2025/2026 yang diterajui Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani. 
 
“Semoga kepimpinan mahasiswa baharu memahami amanah besar yang diwarisi daripada mahasiswa UMPSA, bukan sekadar sebagai kedudukan tetapi sebagai tanggungjawab untuk memelihara kepentingan bersama, membina jambatan komunikasi antara mahasiswa dan pengurusan, serta membantu universiti memperkukuh dasar yang menyentuh kehidupan pelajar. 
 
“MPP baharu adalah rakan strategik universiti, pemacu advokasi dan penggerak budaya kepimpinan muda berwibawa.
 
“Kepimpinan sebenar bukan tentang kuasa atau kedudukan, tetapi pengorbanan, khidmat ikhlas, integriti dan komunikasi berkesan. 
 
“Saya yakin MPP UMPSA 2025/2026 akan meneruskan tradisi kepimpinan yang beradab, berwibawa dan berimpaktinggi, sambil memastikan semua mahasiswa, termasuk golongan OKU, diberi peluang sama rata untuk menyumbang kepada pembangunan kampus,” ujarnya. 

27 MPP baharu UMPSA angkat sumpah tunai kewajiban, perkukuh demokrasi kampus

 
Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim; dan Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Profesor Madya Dr. Mohd Nizam Mohmad Kahar.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri