Skip to main content

53 Pegawai Kadet Kor SUKSIS UMPSA tamat latihan, bergelar Inspektor

BACHOK, 14 September 2026 - Seramai 53 orang pegawai kadet Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Awam Ke-22 Tahun 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok baru-baru ini. 

Hadir menyempurnakan majlis, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, YDH CP Dato' Noor Hisam Nordin.

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah ini mewakili UMPSA adalah  Timbalan Komandan Kor SUKSIS UMPSA, Supt. (K/S) Haryani Abdullah merangkap Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Pengarah Akademi A.D.A.B, JHEPA, UMPSA, ChM. Dr. Siti Umairah Mokhtar. 

Dalam majlis ini, seramai tiga orang pegawai kadet Kor SUKSIS UMPSA turut mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik, sekali gus mengharumkan nama universiti serta fakulti masing-masing.

53 Pegawai Kadet Kor SUKSIS UMPSA tamat latihan, bergelar Inspektor

Mereka ialah pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Inspektor K/S Ahmad Zaim Zakaria.

Beliau telah dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan Kor SUKSIS UMPSA.

Manakala,  pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nur Maisarah Sofia Nor Azman telah berjaya mengungguli anugerah Pelatih Terbaik Akademik Kor SUKSIS UMPSA. 

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ahmad Zharfan Rozaimi pula telah terpilih sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar Kor SUKSIS UMPSA.

Menurut Supt. (K/S) Haryani Abdullah, kejayaan itu membuktikan bahawa pegawai kadet Kor SUKSIS UMPSA bukan sekadar mampu mencipta kecemerlangan di bangku pengajian, malah memiliki bakat, disiplin dan kepimpinan untuk menyerlah dalam pelbagai bidang sekali gus mengangkat nama universiti.

“Malahan, mereka  turut memperlihatkan kepimpinan, disiplin, ketahanan diri, komitmen dan jati diri sepanjang mengikuti latihan Kor SUKSIS,” ujarnya. 

Sementara itu, ChM. Dr. Siti Umairah Mokhtar berkata, Akademi A.D.A.B adalah selaku pusat yang menyelaras pengurusan badan beruniform UMPSA.

Pihaknya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh pegawai kadet Kor SUKSIS UMPSA atas kejayaan menamatkan latihan dan pelantikan sebagai Inspektor Kor SUKSIS, khususnya kepada tiga pegawai kadet terbaik yang telah mengharumkan nama UMPSA.

53 Pegawai Kadet Kor SUKSIS UMPSA tamat latihan, bergelar Inspektor

Katanya, kejayaan 53 pegawai kadet Kor SUKSIS UMPSA ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan mereka dalam menjalani latihan yang menekankan aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan diri serta tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

“Pencapaian ini sekali gus memperkukuh aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan holistik, berdisiplin, berintegriti, berdaya kepimpinan dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi, selaras dengan peranan badan beruniform sebagai platform pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa,” tambahnya. 

Pada majlis itu turut menyaksikan seramai 1,083 orang pegawai kadet Kor SUKSIS dari universiti awam berjaya menamatkan latihan dan secara rasmi bergelar Inspektor Kor SUKSIS  kali ini. 

Disediakan Oleh: Mohd Irwan Musa, Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri