Skip to main content

600 pelajar sekolah menengah negeri Pahang sertai YES! Rock The School

GAMBANG, 27 Julai 2024 - Seramai 600 pelajar sekolah menengah seluruh negeri Pahang berkampung selama dua hari di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menyertai program YES! Rock The School anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) baru-baru ini. 
 
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak.
 
Yang Berhormat Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) atas penganjuran program ini dan kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya. 
 

600 pelajar sekolah menengah negeri Pahang sertai YES! Rock The School

“Penganjuran program sebegini sangat penting dalam membangunkan bakat muda masa depan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
 
“Penglibatan 600 pelajar sekolah ini melibatkan beberapa daerah seperti Kuantan, Temerloh, Marah dan juga Pekan. 
 
“Pada masa yang sama, menerusi program ini ia dapat membangunkan kemahiran kepimpinan dan kemahiran insaniah 60 pelajar UMPSA yang bertindak sebagai fasilitator dan 68 guru kaunselor untuk membimbing pelajar agar dapat membantu membuat  keputusan kerjaya mereka kelak,” katanya. 
 
Tambahnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha untuk membangunkan modal insan berkeamhiran tinggi, khususnya di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memenuhi permintaan pelabur dan industri serta meningkatkan produktiviti negara. 

“Program ini merupakan inisiatif hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Talent Corporation Malaysia Berhad bagi memastikan bakat tempatan terus membangun seiring dengan perkembangan industri dalam negara. 
 
“Saya berharap agar semua pihak yang terlibat dapat bekerja keras demi membantu anak Pahang untuk terus kekal maju di masa hadapan,” ujarnya. 
 
Selain itu juga beliau turut menasihati agar semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh hingga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti suatu hari nanti.

Manakala Pengarah Pusat Kerjaya UMPSA, Profesor Madya Dr. Izwan Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang memilih UMPSA sebagai rakan strategik untuk menjalankan program sebegini.
 
Hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Dato’ Haji Abdul Muie Ngah. 

Mohd Khuzzan pula berkata, sepanjang dua hari program berlangsung pebagai aktiviti yang disediakan seperti aktiviti STEM bersama UMPSA, penggunaan Aplikasi Canva, Tip dan Teknik Permohonan UPU Online, Aktiviti Kecerdasan Buatan (AI) dan TVET dan Kaedah Persijilan, Teknik Penulisan Resume dan lain-lain lagi. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris