7 Alumni UMPSA Galas Peranan Ejen Perpaduan Negara, Dua Raih Anugerah Tertinggi
KUALA LUMPUR, 15 Februari 2026 – Seramai tujuh orang alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengharumkan nama universiti apabila mereka secara rasmi dilantik sebagai Ejen Perpaduan Negara dalam Volunteer Leadership Development Program (VLDP) anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa.
Program berprestij ini menghimpunkan para sukarelawan mahasiswa dan alumni dari seluruh negara bagi memperkasa kepimpinan serta memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.
Tujuh orang alumni UMPSA yang menerima watikah pelantikan tersebut ialah Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, Arvind Pathmanathan, Dayang Nurshamin Natasya Abang Noorisham, Muhammad Fauzi Hakimi Mazlan, Ahmad Mu’az Aiman Abdul Halim, Nur Fathin Eyanie Mohamad Kasli, dan Muhammad Fazleizam Mohd Khairudin.
Menerusi pelantikan ini, kesemua wakil UMPSA berkenaan diamanahkan dengan tanggungjawab besar di bawah inisiatif Kementerian Perpaduan Negara.
Mereka kini berperanan sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi dalam usaha menyemai, memupuk dan memperkukuh semangat integrasi nasional dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Peranan ini dilihat signifikan dalam memperkasakan nilai perpaduan, selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.
Dalam pada itu, kecemerlangan perwakilan UMPSA dalam program tersebut terus terserlah apabila dua daripada mereka berjaya merangkul anugerah utama.
Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan, daya kepimpinan serta dedikasi luar biasa yang ditunjukkan sepanjang menjayakan Misi YSS bagi tahun 2025.
Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Teras Ini Warisan Kita Terbaik, manakala Ahmad Mu’az Aiman bin Abdul Halim pula menerima Anugerah Teras Transformasi Digital Terbaik.
Kedua-dua anugerah ini mencerminkan keupayaan mereka dalam menggerakkan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyokong agenda pembangunan negara.
Menurut Ahmad Amirul Irfan, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghargaan bermakna yang akan menjadi pemangkin untuk beliau terus aktif dalam aktiviti kesukarelawanan serta memperkukuh usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat.
“Pengalaman bersama YSS sebagai platform penting dalam membentuk jati diri, kepimpinan dan kepekaan terhadap keperluan komuniti.
“Pencapaian ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dari segi akademik, kepimpinan serta nilai kemanusiaan.
Kepelbagaian latar belakang alumni yang terlibat turut membuktikan bahawa mahasiswa UMPSA bukan sahaja cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing, malah memiliki semangat empati dan kesukarelawanan yang tinggi dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya.
Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat.
Selaras dengan prinsip ‘Perpaduan Melalui Kesukarelawanan’, penglibatan belia dalam inisiatif sebegini dilihat mampu memperkukuh jati diri serta memupuk semangat kebersamaan demi kemakmuran negara.
Disediakan Oleh: Ahmad Amirul Irfan Ahmad Saupi, Majlis Perwakilan Pelajar
- 70 views
Reports by: