Skip to main content

Afeef Hamizan wakili Malaysia, pelajar UMPSA ke-4 berjaya ke peringkat Global Chinese Bridge

PEKAN, 7 Ogos 2026 – Kecemerlangan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam bidang bahasa dan budaya Cina terus terserlah apabila pelajarnya, Afeef Hamizan Mohd Huzaizi, berjaya mengharumkan nama universiti dan negara apabila dipilih mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition 2026 yang akan berlangsung di China.

Kejayaan itu hadir selepas Afeef menjuarai Chinese Bridge UMPSA Preliminary 2026 yang dianjurkan oleh Confucius Institute (CI) UMPSA. 

Kemenangan tersebut melayakkan beliau mewakili UMPSA ke The 25th Chinese Bridge – Malaysian Preliminary 2026 yang berlangsung di Institut Kong Zi Universiti Malaya (KZIUM).

Berbekalkan penguasaan bahasa Mandarin, pengetahuan budaya China dan persembahan yang cemerlang, Afeef berjaya muncul johan pertandingan peringkat kebangsaan itu, sekali gus diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition 2026.

Pencapaian itu turut melakar sejarah apabila Afeef menjadi pelajar UMPSA keempat yang berjaya mewakili Malaysia ke pertandingan berprestij tersebut, sekali gus meneruskan legasi kecemerlangan UMPSA dalam melahirkan wakil negara di pentas antarabangsa.

Kejayaan ini menyusuli pencapaian tiga orang alumni UMPSA yang pernah mengharumkan nama negara dalam pertandingan sama. 

Legasi tersebut bermula pada tahun 2013 apabila Jamunaa a/p Patchappan muncul johan Chinese Bridge Malaysia Preliminary 2013 sebelum mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition 2013, menjadikan beliau pelajar UMPSA pertama yang berjaya ke peringkat global.

Pada tahun 2021 pula, giliran Syahirah Syazwani Shamsudin pula mencipta nama apabila menjuarai Chinese Bridge Malaysia Preliminary 2021 dan seterusnya mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition 2021, sekali gus menjadi pelajar UMPSA kedua yang berjaya ke pentas global.

Kecemerlangan itu diteruskan pada tahun 2024 menerusi Mohamed Tarmizi Nasharudin, yang menjuarai Chinese Bridge UMPSA Preliminary 2024 anjuran Confucius Institute (CI) UMPSA sebelum muncul johan The 23rd Chinese Bridge – Malaysian Preliminary 2024 di Institut Kong Zi Universiti Malaya (KZIUM). 

Kejayaan tersebut melayakkan beliau mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition 2024, sekali gus menjadi pelajar UMPSA ketiga yang berjaya ke peringkat global.

Menurut Pengarah Confucius Institute UMPSA, Profesor Madya. Ts. Dr. Lee Khai Loon, kejayaan yang dicapai secara konsisten ini membuktikan komitmen CI UMPSA dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja menguasai bahasa Mandarin, malah memahami budaya China serta mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Pertandingan Chinese Bridge merupakan platform berprestij yang menguji penguasaan bahasa Mandarin, pengetahuan budaya China, bakat dan kemahiran komunikasi peserta dari seluruh dunia.

"Kejayaan empat pelajar UMPSA mewakili Malaysia ke peringkat global membuktikan keberkesanan ekosistem pembelajaran bahasa Mandarin yang dibangunkan di universiti ini menerusi kerjasama strategik antara UMPSA dan Hebei University melalui Confucius Institute UMPSA.

"Ia bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, malah turut mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa serta memperkukuh hubungan pendidikan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China," ujarnya.

Sehingga kini, empat pelajar UMPSA yang pernah mewakili Malaysia ke Chinese Bridge Global Competition ialah Jamunaa a/p Patchappan (2013), Syahirah Syazwani Shamsudin (2021), Mohamed Tarmizi Nasharudin (2024) dan Afeef Hamizan Mohd Huzaizi (2026), sekali gus menjadikan UMPSA antara institusi pengajian tinggi yang konsisten melahirkan wakil negara ke pertandingan berprestij tersebut.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri