Dari Dewan Senat UMPSA ke Dewan Persidangan Parlimen Malaysia: Persidangan Parlimen Mahasiswa UMPSA Sidang Ke-4 catat sejarah
KUALA LUMPUR, 21 April 2026 - Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Sidang Ke-4 catat sejarah apabila buat pertama kalinya bersidang di Dewan Persidangan Parlimen Malaysia baru-baru ini.
Sidang Khas Parlimen Mahasiswa UMPSA yang bersidang ini memberi pengalaman buat seramai 124 ahli perwakilan mengetengahkan pandangan, idea serta cadangan secara profesional dan beretika.
Kehadiran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul telah menyerikan lagi program apabila beliau meluangkan masa bertemu serta menyantuni mahasiswa UMPSA.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin, Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mimi Rabita Abdul Wahit.
Dalam pertemuan itu, Tan Sri Dato’ Dr. Johari turut berkongsi pengalaman dan suntikan semangat buat pemimpin muda dalam membina masa depan negara.

Menurutnya, persidangan ini bukan sekadar simulasi, malah merupakan manifestasi kematangan mahasiswa dalam melontarkan idea, membahaskan dasar, dan membawa suara anak muda ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah yang hadir mempengerusikan Majlis Penutup Persidangan Parlimen Mahasiswa Sidang Ke-4 UMPSA berpuas hati dan mengucapkan tahniah apatah lagi dengan cara penyampaian dan hujah yang diutarakan mahasiswa kini cukup ilmiah.
“Program yang julung kalinya diadakan di bangunan Parlimen Malaysia ini menyaksikan beberapa isu telah dibawa dan dibahaskan oleh Ahli Dewan persidangan.
“Malah, Parlimen Mahasiswa ini merupakan platform terbaik untuk mahasiswa menimba pengalaman sistem demokrasi berparlimen dan mengasah kemahiran berhujah secara profesional.
“Selain itu juga, penganjuran sidang kali ini di lokasi sebenar Dewan Persidangan Parlimen Malaysia melambangkan kesungguhan UMPSA melahirkan pemimpin pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berintegriti, berdaya saing dan peka terhadap isu-isu semasa negara,” ujarnya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Adam Al-Wafiy Muhammad Zailani berpandangan bahawa Parlimen Mahasiswa UMPSA kali ini bukan sekadar satu siri persidangan, tetapi sebuah pengalaman pembelajaran kepimpinan yang sangat bermakna.
“Selama dua hari bersidang di Dewan Senat UMPSA Pekan, setiap perbahasan, hujah dan usul yang dibawa mencerminkan kematangan serta kesungguhan wakil mahasiswa dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan kebajikan, pembangunan dan masa depan mahasiswa.
“Kemuncak kepada pengalaman ini adalah apabila delegasi Parlimen Mahasiswa UMPSA diberi peluang mengadakan sidang khas di Parlimen Malaysia.
“Usul khas yang dibawa di pentas tersebut menjadi simbol keberanian mahasiswa dalam menyuarakan pandangan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Jelas beliau lagi, begitu juga dengan sesi ramah mesra bersama Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr. Johari dan penyertaan dalam program ChitChat MADANI bersama YB Parlimen Pekan dan YB Parlimen Ampang turut membuka ruang perspektif yang lebih luas tentang realiti kepimpinan, dasar negara dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, walaupun dalam konteks mahasiswa.
“Dalam pada itu, pelbagai input, nasihat dan perkongsian yang diperoleh sepanjang program ini wajar dijadikan pedoman dan inspirasi kepada seluruh mahasiswa, khususnya barisan kepimpinan pelajar untuk terus memperbaiki diri dari segi pemikiran, tindakan dan nilai kepimpinan,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada semua barisan pemimpin mahasiswa agar jadilah pemimpin yang melihat kepada keseluruhan kebaikan, bukan hanya kepada kepentingan sesebuah pihak.
“Dengarlah suara mahasiswa dengan penuh empati, namun dalam masa yang sama, sebagai pemimpin pelajar, dipertanggungjawabkan juga untuk membentuk dan membantu mahasiswa menjadi individu yang berilmu, berprinsip serta berdaya saing sebagai asas kepada kepimpinan yang bukan sahaja dihormati, tetapi juga memberi impak yang berpanjangan,” katanya.
Program Libat Urus Mahasiswa Bersama Kepimpinan Negara - Chit Chat Madani Bersama Back Benchers telah menampilkan Ahli Parlimen Pekan, YB Dato' Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali dan Ahli Parlimen Ampang, YB Puan Hajah Rodziah Ismail.
Seramai 124 ahli sidang yang terdiri daripada 86 ahli dewan mewakili pemimpin kelab dan persatuan serta 28 orang MPP berhujah dan bertukar pandangan menjelang Parlimen Mahasiswa yang berlangsung pada 19 dan 20 April di UMPSA Pekan dan 21 April di Parlimen Malaysia.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 18 views
Reports by: