Skip to main content

Dato’ Abu Jimi Samat terima Anugerah Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat 

PEKAN, 15 Jun 2026 – Kejayaan dalam kerjaya bukan sahaja diukur melalui jawatan yang disandang, malah turut dipacu oleh kesungguhan menimba ilmu dan memperkasakan diri secara berterusan.

Atas komitmen luar biasa terhadap pembangunan ilmu pengetahuan, profesionalisme dan kepimpinan sepanjang kerjaya, Dato’ Abu Jimi Samat telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.

Lulusan Master Eksekutif Pengurusan Projek dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tahun 2022 itu diiktiraf atas dedikasi beliau mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam pelbagai bidang yang diceburi, merangkumi sektor korporat, badan berkanun, industri pembinaan dan pembangunan sukan negara.

Pemilihan beliau mencerminkan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan yang sentiasa meningkatkan kompetensi diri, berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan industri dan memberi impak besar kepada pembangunan negara melalui ilmu serta pengalaman yang dimiliki.

Sebagai tokoh yang disegani dalam pelbagai sektor, Dato’ Abu Jimi kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah CIDB Malaysia selain pernah menyumbang khidmat sebagai Pegawai Eksekutif di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Beliau turut menerajui organisasi korporat menerusi penglibatan dalam Cara Kuasa Sdn. Bhd. dan Auqvale Corporation Sdn. Bhd., sekali gus membuktikan keupayaannya mengadaptasi perubahan persekitaran industri melalui peningkatan ilmu, kemahiran dan kompetensi secara berterusan.

Kejayaan beliau merentasi pelbagai sektor memperlihatkan bagaimana pembelajaran sepanjang hayat menjadi faktor penting dalam membentuk kepimpinan yang relevan, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks.

Selain pencapaian profesional, Dato’ Abu Jimi juga dikenali sebagai individu yang aktif menyumbang kepada pembangunan sukan negara, khususnya dalam arena sepak takraw.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTNP), Naib Presiden 1 Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Pengurus Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan Malaysia.

Melalui pelbagai tanggungjawab tersebut, beliau berjaya menggabungkan pengetahuan pengurusan, kepimpinan strategik dan pembangunan modal insan dalam memperkukuh prestasi sukan di peringkat negeri serta kebangsaan.

Sumbangan beliau dalam pembangunan sukan bukan sahaja melibatkan aspek pengurusan organisasi, malah turut memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet dan pasukan yang berdaya saing serta mampu mengharumkan nama negara.

Menurutnya, ilmu merupakan aset paling berharga yang perlu diperkasakan sepanjang hayat bagi memastikan seseorang individu sentiasa relevan dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Saya percaya pembelajaran tidak pernah berhenti walaupun kita telah berada di puncak kerjaya. 

“Dunia sentiasa berubah dan sebagai pemimpin, kita perlu terus menambah ilmu, memperkukuh kemahiran serta bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran baharu. 

“Pengalaman menimba ilmu di UMPSA turut membuka perspektif baharu dalam pengurusan projek, kepimpinan strategik dan pembangunan organisasi yang banyak membantu dalam kerjaya profesional serta penglibatan dalam pembangunan sukan negara,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, anugerah ini bukan sekadar penghargaan kepada dirinya secara peribadi, tetapi juga peringatan bahawa ilmu perlu dimanfaatkan untuk memberi manfaat kepada organisasi, masyarakat dan negara. 

“Saya berharap lebih ramai golongan profesional menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat sebagai amalan,” katanya. 

Pemilihannya sebagai penerima anugerah ini juga mengambil kira keupayaannya menjadi sumber inspirasi kepada golongan profesional, eksekutif dan pemimpin industri bahawa proses pembelajaran tidak terhenti selepas tamat pengajian, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang kehidupan.

Malah, perjalanan kerjaya beliau membuktikan bahawa kejayaan sebenar lahir daripada kesediaan untuk terus belajar, memperbaiki diri dan menyesuaikan kemahiran mengikut keperluan semasa.

Sehubungan itu, Dato’ Abu Jimi disifatkan sebagai individu yang amat bertepatan untuk menerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat  sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi beliau menjadikan ilmu sebagai teras kepimpinan, kecemerlangan profesional serta sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Anugerah ini turut menjadi simbol penghargaan UMPSA kepada alumni yang terus memartabatkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kerjaya serta kehidupan, selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, holistik dan berimpak tinggi.

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim