iFUTURE 2026: Belia perlu berani bertindak, pikul tanggungjawab sebagai agen perubahan
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 - Golongan belia perlu beralih daripada sekadar menyuarakan ketidakpuasan hati kepada tindakan nyata bagi membawa perubahan positif kepada masyarakat, negara dan dunia.
Seruan itu disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, ketika mengendalikan sesi iFUTURE 2026 Special Series bertemakan ‘From Citizen to Changemaker: How Young Leaders Can Influence the Future’ yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut beliau, golongan muda mempunyai peranan penting dalam mencorakkan masa hadapan dan tidak seharusnya melihat diri mereka sekadar sebagai pemerhati, sebaliknya perlu mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan serta usaha menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat.

“Perubahan bermula apabila seseorang berani bersuara, tampil ke hadapan dan mengambil tanggungjawab.
“Pemimpin muda mempunyai peranan penting di kampus, dalam komuniti dan di negara masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut mengajak peserta menilai perbezaan antara mengemukakan aduan dengan mengambil tindakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, termasuk isu kebajikan mahasiswa, kemudahan kampus dan permasalahan dalam komuniti setempat.
Jelas beliau lagi, persoalannya bukan sekadar berapa ramai yang pernah mengadu tentang sesuatu perkara, tetapi berapa ramai yang mengambil tindakan untuk memperbaikinya.
Sesi berkenaan turut menampilkan dua panelis, bekas Ahli Parlimen Dilantik Singapura, Raj Joshua Thomas dan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Neow Choo Seong yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai kepimpinan, khidmat awam dan penglibatan golongan muda dalam proses pembangunan negara.
Raj Joshua Thomas berkata, pengalaman beliau ketika menjadi pemimpin mahasiswa di National University of Singapore membuktikan bahawa isu kebajikan yang kelihatan kecil mampu menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar.

"Aduan mahasiswa berkaitan kemudahan pengangkutan kampus, infrastruktur dan ruang pembelajaran mendorong beliau bersama rakan-rakan untuk menyertai majlis perwakilan pelajar bagi memperjuangkan penambahbaikan kemudahan tersebut.
“Apabila kita melihat sesuatu masalah, kita perlu bertanya kepada diri sendiri apakah yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya.
"Kita tidak boleh menyelesaikan semua masalah dunia secara bersendirian, tetapi kita boleh memilih satu atau dua bidang yang benar-benar dekat dengan minat dan kemampuan kita untuk menyumbang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pemimpin muda perlu mempunyai tujuan yang jelas, keupayaan membuat keputusan dan kesediaan untuk berkhidmat, bukannya mengejar populariti atau kedudukan semata-mata.
“Jika niat kita betul dan kita mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang baik, kekurangan pengalaman tidak seharusnya menjadi penghalang.
"Malah, perspektif baharu daripada golongan muda boleh membantu menghasilkan penyelesaian yang lebih kreatif dan sesuai dengan keperluan semasa,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Neow Choo Seong berkata, pengalaman sebagai pemimpin mahasiswa sebelum menyertai perkhidmatan diplomatik telah membentuk pemahamannya tentang kepentingan tanggungjawab, kerjasama dan keupayaan melihat sesuatu isu daripada perspektif yang lebih luas.
"Kepimpinan bukan hanya berkaitan dengan pengaruh terhadap rakan sebaya, sebaliknya melibatkan tanggungjawab terhadap institusi, negara dan masyarakat.
“Sebagai seorang pemimpin, kita perlu bersikap objektif dan memahami tujuan kita berada dalam sesuatu organisasi.
"Jika kita mahu menjadi pemimpin, kita perlu memimpin untuk semua pihak,” ujarnya.

Katanya, ketepikan kepentingan diri dan ego apabila sesuatu keputusan itu membawa kebaikan kepada masyarakat.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak hanya mengharapkan pihak lain menyelesaikan masalah negara, sebaliknya berani tampil memberikan sumbangan melalui bidang dan saluran yang bersesuaian.
“Jika kita merasakan masih banyak yang perlu dilakukan untuk negara, kita juga perlu memikirkan bagaimana kita boleh menyumbang dan melakukan yang terbaik.
"Kita tidak boleh sekadar menunjukkan kelemahan orang lain dan mengharapkan mereka melakukan segala-galanya,” katanya.
Mengakhiri sesi tersebut, Adam Adli mengingatkan peserta bahawa golongan muda merupakan pihak yang akan mewarisi kesan daripada keputusan dan tindakan generasi hari ini, sekali gus perlu bersedia memainkan peranan dalam menentukan masa hadapan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnihah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 15 views