iFUTURE 2026 bentuk pemimpin muda berwawasan global, perkenal 10 resolusi
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 - Program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 menjadi platform penting dalam membentuk generasi pemimpin muda yang berwawasan global, berfikiran terbuka serta berupaya menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pembentukan pemimpin masa hadapan perlu bermula dengan keupayaan memahami realiti semasa, membuat pertimbangan secara bijaksana dan membina disiplin diri dalam setiap tindakan.
“Para peserta perlu menghayati tiga perkara utama, iaitu keberanian menghadapi realiti, kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan serta disiplin diri sebagai asas untuk membina masa hadapan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup iFUTURE 2026 yang menghimpunkan pemimpin pelajar dari Malaysia dan pelbagai negara bagi bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membina jaringan antarabangsa.
Menurut beliau, pengalaman berinteraksi dengan rakan daripada latar belakang budaya dan negara yang berbeza memberi peluang kepada pelajar untuk meluaskan perspektif, memahami kepelbagaian serta membina pemikiran global yang diperlukan dalam kepimpinan masa kini.
“Apabila mereka pulang ke negara masing-masing, percayalah, mereka akan ingat Malaysia.
“Bukan hanya sebagai tempat untuk mereka datang belajar menerima segulung ijazah, tetapi mereka akan ingat Malaysia sebagai tempat yang membentuk karakter dan kepimpinan mereka untuk dibawa pulang suatu hari nanti.
“Saya berharap agar iFUTURE dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah berterusan untuk memupuk kepimpinan generasi muda, sejajar dengan aspirasi melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki nilai, jati diri dan tanggungjawab terhadap masyarakat serta negara,” katanya.
Turut sama hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Tuan Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Pengerusi LPU, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang@Semail.
Dalam pada itu, iFUTURE 2026 turut menghasilkan sepuluh resolusi yang menggariskan komitmen pelajar terhadap pemerkasaan penyertaan belia secara langsung dalam penggubalan dasar, peningkatan literasi kecerdasan buatan (AI) secara kritis dan beretika serta pembangunan ekosistem inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Resolusi ini turut menekankan kepentingan memperkukuh sokongan kesihatan mental dan kesejahteraan di kampus, memodenkan perundangan berasaskan penyelidikan universiti serta menangani halangan struktur ekonomi bagi memperluas peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan.
Selain itu, memberi penekanan terhadap pembentukan karakter pemimpin muda yang adaptif, tangkas dan berpegang pada nilai yang tinggi, di samping mengutamakan keperluan pelajar selaras dengan pembangunan negara serta memperkukuh kerjasama antara pelajar, institusi pendidikan tinggi, kerajaan dan industri dalam mencorakkan masa hadapan.
Lain-lain menekankan pemerkasaan golongan muda bukan sekadar menyediakan mereka untuk menghadapi masa hadapan, sebaliknya memberikan ruang, keupayaan dan sokongan sistemik kepada mereka untuk memainkan peranan dalam membentuk masa hadapan bermula dari sekarang.
Kejayaan penganjuran iFUTURE 2026 mencerminkan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang melangkaui bilik kuliah, sekali gus menggalakkan pertukaran idea, pembinaan jaringan dan pemahaman rentas budaya dalam kalangan pemimpin muda.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu melibatkan penyertaan seramai 1,231 pelajar dari 60 buah negara.
Bertemakan ‘Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership, iFUTURE 2026’ menghimpunkan seramai 813 pelajar Malaysia dan 418 pelajar antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada pembentukan pemimpin kini dan masa depan yang berteraskan nilai, integriti dan tanggungjawab dalam menghadapi cabaran global.
iFUTURE 2026 merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dengan kerjasama UMPSA sebagai universiti peneraju pada kali ini.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 15 views
