Skip to main content

iFUTURE 2026: KLiX2026 jadi acara suai kenal, sasar 2 rekod MBOR

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2026 - Edisi ketiga Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit atau iFUTURE 2026) memperkenalkan KL iFUTURE Explorace 2026 (KLiX2026) buat julung-julung kalinya sebagai aktiviti suai kenal (ice breaking) yang menggabungkan eksplorasi bandar, cabaran berkumpulan dan permainan tradisional.

Program itu membawa peserta meneroka Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam dengan mengikuti laluan berbeza bagi menyelesaikan cabaran yang ditetapkan sebelum berkumpul semula di Padang Merbok.

Pendekatan tersebut memberikan peluang kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa mengenali warisan serta budaya ibu negara, di samping membina kerjasama dan hubungan persahabatan menerusi pengalaman bersama di luar suasana persidangan formal.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang dan turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias. 

Dalam pada itu, hadir dalam acara kemuncak, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Ts. Dr. Noraisah Spahat.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, program ini berjaya mengeratkan hubungan antara peserta dan mengenali warisan dan budaya masyarakat Malaysia dan lokasi tumpuan pelancongan di Kuala Lumpur. 

iFUTURE 2026: KLiX2026 jadi acara suai kenal, sasar 2 rekod MBOR

“Salah satu komponen penting iFUTURE 2026 ialah usaha membina jaringan rentas institusi dan negara dalam kalangan pemimpin muda,” ujarnya. 

KLiX2026 turut menjadi medan percubaan mencatatkan dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu 'Penyertaan Paling Ramai dalam Permainan Batu Seremban Secara Serentak' dan 'Penyertaan Paling Ramai dalam Acara Explorace'.

iFUTURE 2026: KLiX2026 jadi acara suai kenal, sasar 2 rekod MBOR

Kedua-dua percubaan rekod itu menggabungkan elemen permainan tradisional dengan aktiviti eksplorasi bandar yang melibatkan penyertaan mahasiswa dari pelbagai negara.
iFUTURE 2026 berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan penyertaan  seramai 1,231 orang mahasiswa dari 60 buah negara bagi membina jaringan persahabatan serta berkongsi pengalaman sebagai pemimpin muda.

Oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim