iFUTURE 2026 perkasa kepimpinan generasi muda berteraskan nilai
KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2026 – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim hadir menyempurnakan Majlis Makan Malam Pembukaan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
Turut sama Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Hirman Awang@Semail.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Menurut Dato' Seri Anwar, golongan muda mempunyai tanggungjawab untuk membentuk pemikiran masyarakat serta mempertahankan prinsip integriti, keadilan dan kebebasan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Mereka mewakili masa kini dan masa depan.
“Mahasiswa perlu memperjuangkan suara hati masyarakat yang tidak boleh menerima rasuah, eksploitasi dan ketidakadilan.
“Pendidikan bukan sekadar bertujuan melahirkan graduan berpengetahuan, malah perlu membentuk individu yang mempunyai kesedaran moral, pemikiran kritis dan keberanian untuk melakukan perkara yang benar,” ujarnya.
Beliau berkata, mahasiswa juga perlu memanfaatkan peluang yang tersedia melalui program seperti iFUTURE untuk memperluas pengetahuan, bertukar pandangan dan membina persefahaman dengan rakan-rakan dari pelbagai negara.
“Pertemuan golongan muda daripada latar belakang bahasa, budaya, agama dan sistem politik yang berbeza merupakan peluang bermakna untuk membina hubungan serta memahami perspektif masyarakat antarabangsa.
“Perbezaan tidak semestinya melemahkan kita, sebaliknya boleh mengukuhkan hubungan melalui kefahaman terhadap rakan-rakan yang mempunyai bahasa, budaya, agama dan sistem politik yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa mahasiswa supaya bersedia meneroka bidang ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan pendigitalan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global.
“Penguasaan ilmu perlu bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan, keadilan dan tanggungjawab sosial agar kemajuan yang dicapai dapat dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Pendidikan juga perlu dilaksanakan dengan matlamat memberikan peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang, selain memastikan setiap individu memperoleh ruang untuk mengembangkan potensi masing-masing,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perpaduan, tadbir urus yang baik dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab merupakan antara asas penting dalam memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara mampan.
Beliau turut menggalakkan peserta iFUTURE supaya mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan kepada kerajaan, termasuk berkaitan pelaksanaan dasar serta kelemahan yang perlu diberikan perhatian.
Katanya, mahasiswa perlu berani menyuarakan pandangan secara berhemah dan berasaskan pemikiran kritis kerana pendidikan turut berperanan membentuk keupayaan menilai, menyoal dan memperbaiki keadaan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata, iFUTURE merupakan platform penting untuk membina keyakinan, mengembangkan potensi kepimpinan dan inovasi serta membantu golongan muda menterjemahkan aspirasi kepada sumbangan bermakna.

“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam menyediakan ruang kepada golongan muda untuk meluaskan perspektif dan mempersiapkan diri menghadapi peluang serta cabaran masa hadapan,” ujarnya.
iFUTURE 2026 merupakan penganjuran ketiga program berkenaan oleh KPT sejak tahun 2024 dan menghimpunkan mahasiswa dari 58 negara selama tiga hari bagi membina jaringan, bertukar pengalaman serta memperkukuh persefahaman antara budaya.
Penganjuran program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa yang bukan sahaja kompeten dalam teknologi dan berfikiran kritis, malah memiliki integriti, empati, daya tahan serta tanggungjawab sosial.
Melalui platform ini, mahasiswa diharap dapat memperkukuh keupayaan kepimpinan, meluaskan jaringan antarabangsa dan menjadi generasi yang berupaya memacu perubahan positif kepada masyarakat serta negara masing-masing.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
- 49 views