Skip to main content

iFUTURE 2026: Persahabatan rentas negara, asas kerjasama masa hadapan

SHAH ALAM, 13 Oktober 2026 – Pertemuan pemimpin mahasiswa dari pelbagai negara menerusi Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 menjadi platform penting dalam membina jaringan persahabatan antarabangsa yang berpotensi membuka ruang kerjasama strategik pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, hubungan yang terjalin melalui interaksi secara langsung antara mahasiswa mampu membentuk persefahaman merentas budaya dan negara, sekali gus menjadi asas kepada diplomasi rakyat (people-to-people diplomacy).

iFUTURE -Persahabatan rentas negara, asas kerjasama masa hadapan

Menurut beliau, jaringan yang dibina sepanjang berada di universiti bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama mahasiswa, malah berpotensi berkembang menjadi kerjasama dalam pelbagai bidang apabila mereka memainkan peranan penting di negara masing-masing pada masa hadapan.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa mengambil peluang sepanjang program untuk saling mengenali, bertukar pengalaman serta membina persahabatan yang dapat diteruskan meskipun selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jaringan iFUTURE 2026 yang berlangsung di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU), semalam.

Majlis berkenaan menghimpunkan seramai 1,231 pemimpin mahasiswa dari 60 negara bersempena dengan penganjuran edisi ketiga iFUTURE 2026.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Turut hadir, Presiden dan Pengasas MSU, Tan Sri Dato’ Wira Profesor Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid serta Naib Canselor MSU, Puan Sri Datuk Profesor Dr. Junainah Abd Hamid.

Penganjuran majlis jaringan ini mencerminkan kepentingan hubungan antara mahasiswa sebagai landasan untuk memperluas perspektif, memahami kepelbagaian budaya dan membina kepercayaan yang menjadi asas kepada kerjasama antarabangsa.

Melalui iFUTURE 2026, mahasiswa berpeluang membina jaringan global yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan kepimpinan diri, malah berpotensi menyumbang kepada hubungan yang lebih erat antara negara pada masa hadapan

Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat dan Zaffaruddin Hamzah, Pejabat Naib Canselor
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim