Skip to main content

iFUTURE 2026: TPM seru pemimpin muda pimpin dengan nilai, visi dan tanggungjawab

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 - Golongan muda perlu memimpin berteraskan nilai, visi dan tanggungjawab serta tidak menunggu sehingga diberikan jawatan atau gelaran untuk membawa perubahan kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof berkata, kepimpinan sebenar bukan sekadar bergantung pada kedudukan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui integriti, keperibadian dan tindakan yang mampu membina kepercayaan orang lain.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas bertajuk ‘Values, Vision and Responsibility: Leadership in the Global Era’ bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit atau iFUTURE 2026) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Ts. Dr. Noraisah Spahat; serta Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Program berkenaan menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar dari 60 negara bagi memperkukuh jaringan antarabangsa serta membincangkan peranan generasi muda dalam menghadapi cabaran global.

iFUTURE 2026- TPM seru pemimpin muda pimpin dengan nilai, visi dan tanggungjawab

Menurut beliau, generasi muda hari ini berdepan pelbagai cabaran termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), peningkatan kos sara hidup, persaingan pekerjaan dan perubahan iklim yang memerlukan mereka sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan nilai sebagai panduan dalam menggunakan teknologi secara bertanggungjawab, visi yang jelas untuk menentukan hala tuju serta rasa tanggungjawab bagi memastikan kejayaan turut memberi manfaat kepada orang lain.

Beliau turut menggariskan kepentingan pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu menyokong pembangunan negara serta meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

“Inovasi tidak seharusnya dilakukan semata-mata untuk menghasilkan sesuatu yang baharu, sebaliknya perlu memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau turut menggalakkan pemimpin muda membina daya tahan dengan belajar daripada kegagalan, menyesuaikan pendekatan apabila berdepan cabaran, menerima pandangan berbeza serta bekerjasama merentas sempadan negara bagi menangani isu bersama seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan kesihatan awam.

“Pemimpin muda perlu mengenal pasti masalah yang boleh diselesaikan, mengambil tindakan yang bersesuaian dan membina kerjasama dengan individu yang berkongsi matlamat sama,” ujarnya. 

Beliau mengakhiri ucapan dengan menegaskan bahawa generasi muda bukan sekadar pemimpin masa hadapan, sebaliknya sudah menjadi pemimpin pada hari ini yang mempunyai peranan penting dalam membentuk hala tuju negara dan dunia.

“You are not merely the leaders of tomorrow. 

“You are the leaders of today,” katanya.

iFUTURE 2026- TPM seru pemimpin muda pimpin dengan nilai, visi dan tanggungjawab

iFUTURE 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan UMPSA sebagai platform untuk memperkasa kepimpinan mahasiswa, menggalakkan pertukaran idea serta membentuk generasi pemimpin yang berintegriti serta berpandangan global.

Oleh: Nurhartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim