iFUTURE2026: Pemimpin muda perlu berani bertindak, berpegang pada integriti
KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Golongan muda perlu berani mengambil tanggungjawab, mempertahankan integriti dan memulakan perubahan dari persekitaran sendiri tanpa menunggu sehingga diberikan jawatan atau kedudukan tertentu.
Seruan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Yang Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam forum ‘Voices of Tomorrow: A Conversation on Leadership and Nation Building’ bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE 2026) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Beliau berkata, kepimpinan bukan sekadar berkaitan jawatan atau kuasa, sebaliknya perlu dibuktikan melalui karakter, integriti dan keberanian mempertahankan perkara yang benar.
“Leadership is not about berjawatan.
“Leadership to me is about character and integrity.
"Universiti merupakan platform awal bagi mahasiswa mempelajari demokrasi, menyuarakan pandangan dan membina keberanian untuk menangani isu dalam masyarakat,” ujarnya.
Justeru katanya, mahasiswa perlu memainkan peranan aktif dalam menangani isu seperti buli, gangguan seksual dan keganasan berasaskan gender melalui dialog, kesedaran serta tindakan bersama, tanpa hanya bergantung kepada pihak pengurusan universiti atau kerajaan.
“Sebagai pemimpin muda, mereka perlu mengambil tanggungjawab hari ini.
"Mahasiswa perlu berani menyuarakan pandangan dan bersedia menerima kritikan kerana kepimpinan menuntut keteguhan prinsip serta kesanggupan menghadapi cabaran," katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, pemimpin masa hadapan perlu mengimbangi ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan nilai integriti dalam membuat keputusan serta melaksanakan tanggungjawab.

"Kemudahan teknologi dan akses kepada maklumat yang dinikmati generasi muda perlu disertai kefahaman tentang tujuan sesuatu tindakan, selain kebolehan menilai keadaan dan membuat keputusan secara bijaksana.
“Kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan ialah dua perkara yang berbeza.
"Kita memahami sesuatu isu, tetapi kebijaksanaan menentukan bila dan bagaimana ilmu itu perlu digunakan,” jelas beliau.
Beliau menambah, integriti menjadi semakin penting dalam persekitaran yang dipengaruhi perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi memastikan pemimpin bukan sekadar mencapai hasil, tetapi turut mengekalkan nilai dan prinsip dalam setiap tindakan.
“Jika kita mahu menjadi pemimpin yang baik, kita perlu mempunyai kebijaksanaan, ilmu pengetahuan dan, yang paling penting, mempertahankan nilai yang menjadi pegangan kita,” katanya.
Tuan Haji Akmal Nasrullah turut menekankan kepentingan menghormati perbezaan pandangan dan memahami cabaran yang dihadapi kelompok masyarakat lain bagi memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif.
Menyentuh peluang pekerjaan dan mobiliti sosial graduan, beliau berkata, peningkatan pendapatan perlu disokong produktiviti, manakala penyediaan pekerjaan berkualiti memerlukan tenaga kerja tempatan yang bersedia memenuhi keperluan industri.
“Kerajaan berperanan menyediakan dasar dan peluang yang adil, namun golongan muda juga perlu meningkatkan kemahiran, bekerja keras dan membuktikan keupayaan untuk merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Azalina turut menasihatkan pemimpin muda supaya membina ketahanan diri ketika berhadapan kritikan, tekanan media sosial dan penyebaran maklumat palsu.

“Pemimpin perlu kekal berpegang pada nilai diri dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab serta hasil kerja, tanpa terlalu dipengaruhi pandangan negatif.
“Jika anda cuba berhujah dengan setiap perkara yang orang katakan, kesihatan mental anda akan terjejas.
“Fokus kepada perkara yang penting dan hasil kerja yang perlu dicapai,” katanya.
Forum tersebut dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hashim yang turut menekankan kepentingan nilai dan kebenaran sebagai asas kepimpinan.
Beliau merumuskan bahawa pemimpin perlu memahami kepelbagaian pandangan serta berpegang pada prinsip, termasuk ketika berdepan situasi yang menuntut keberanian untuk berdiri teguh mempertahankan perkara yang benar.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, bersama pegawai kanan kementerian, kepimpinan universiti dan mahasiswa daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi.
Forum itu turut membuka ruang kepada mahasiswa daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi untuk mengemukakan soalan berkaitan perpaduan, keadilan, keselamatan kampus, pembangunan ekonomi, reformasi undang-undang dan kesihatan psikologi pemimpin muda.
Penganjuran iFUTURE 2026 menghimpunkan mahasiswa dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh jaringan, bertukar pandangan serta membina kefahaman tentang kepimpinan berteraskan nilai, wawasan dan tanggungjawab terhadap masa hadapan negara.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 14 views