Skip to main content

Ikon Inklusif MARS 2025 UMPSA milik Nik Muhammad Syahmi cerminan komitmen terhadap komuniti OKU

PEKAN, 10 Jun 2026 – Semangat juang yang tinggi dalam memperkasakan agenda inklusiviti dan komitmen berterusan membela komuniti orang kurang upaya (OKU) melayakkan mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nik Muhammad Syahmi Nik Shukri menerima pengiktirafan sebagai Ikon Inklusif pada Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025. 

Mahasiswa Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Tenaga) dengan Kepujian itu menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai satu penghormatan besar bukan sahaja buat dirinya, malah kepada keluarga dan rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kepimpinan dan advokasinya.

Menurut anak kelahiran Pahang berusia 23 tahun itu, anugerah tersebut memberi makna yang mendalam kerana menghargai segala usaha yang telah dicurahkan dalam memperkasakan agenda inklusif di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

“Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa suara dan usaha untuk membangunkan komuniti inklusif bukan sahaja didengari, malah turut dihargai.

“Ia juga menjadi satu tanggungjawab besar untuk saya terus menjadi inspirasi dalam pembangunan komuniti inklusif dan menyuntik motivasi baharu untuk terus berbakti tanpa mengenal erti jemu,” ujarnya.   

Sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA, Syahmi aktif menerajui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti OKU dan golongan memerlukan.

Beliau kini memegang jawatan sebagai Presiden Kelab DAMAi UMPSA dan turut diberi kepercayaan sebagai Wakil Kebangsaan Majlis Belia OKU Malaysia.

Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai program dan jaringan antarabangsa menjadikan dirinya antara pemimpin muda yang berperanan penting dalam memperjuangkan hak, kebajikan dan akses saksama kepada komuniti OKU.
Menurut Syahmi, cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang melaksanakan pelbagai program adalah menyelaraskan masa, logistik dan komunikasi dengan pelbagai pihak, di samping berusaha memecahkan stigma terhadap golongan OKU dalam masyarakat.

Namun, beliau percaya bahawa kerjasama berpasukan dan sokongan daripada pelbagai pihak menjadi faktor utama kejayaan setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, semua kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan ibu bapa, keluarga, pensyarah, rakan-rakan dan warga UMPSA yang sentiasa memberikan bimbingan serta dorongan.

“Saya amat berterima kasih kepada Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi), Dr. Munira Abdul Razak, Penasihat Kelab DAMAi, Dr. Ahmad Redza Ahmad Mokhtar, serta seluruh warga PPi dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) DAMAi yang banyak membantu sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan penerimaan Anugerah Ikon Inklusif pada MARS 2025 sebagai antara pencapaian paling bermakna sepanjang bergelar mahasiswa.

Selain itu, kejayaan menghimpunkan delegasi serantau bersama pengurusan universiti bagi menjayakan inisiatif bertaraf antarabangsa seperti pameran dan Karnival INCLUSIVE 2025 turut menjadi detik yang paling membanggakan buat dirinya.

Dalam pada itu, Syahmi mengakui bahawa UMPSA memainkan peranan besar dalam membentuk potensi kepimpinan mahasiswa melalui penyediaan ekosistem yang kondusif serta platform pembangunan diri yang menyeluruh.

Katanya, sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap aktiviti pelajar membolehkan pelbagai program kemasyarakatan dan kelestarian dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berazam untuk terus memperjuangkan dasar dan advokasi berkaitan inklusiviti khususnya di institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, beliau juga bercita-cita untuk menyumbang kepakaran dalam Bidang Teknologi Kejuruteraan Elektrik kepada sektor industri secara profesional selepas menamatkan pengajian.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya aktif menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kemahiran kepimpinan.

“Kecemerlangan holistik bukan sekadar bergantung kepada keputusan peperiksaan, tetapi juga keupayaan memberi nilai tambah kepada masyarakat.

“Jangan takut untuk tampil ke hadapan, libatkan diri dalam kerja kemasyarakatan dan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah secara kreatif serta analitikal,” jelasnya. 

Beliau berharap kejayaan yang diraih mampu menjadi inspirasi kepada seluruh warga FTKEE dan UMPSA untuk terus mencipta impak positif kepada masyarakat.

Malah, beliau juga berhasrat meninggalkan legasi kampus yang benar-benar inklusif, bebas daripada sebarang halangan serta menyediakan peluang yang adil kepada semua individu tanpa mengira keupayaan untuk mencapai kecemerlangan.

“Impian saya adalah untuk melihat persekitaran pendidikan yang lebih inklusif dengan sistem sokongan yang menyeluruh agar setiap individu berpeluang berkembang dan berjaya mengikut potensi masing-masing,” katanya.
 

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim