Mahasiswa UMPSA sambut Tahun Baharu secara Islamik
PUTRAJAYA, 1 Januari 2026 – Baru-baru ini, seramai 80 orang mahasiswa dari Kelab YOSH, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai program Ambang Gema Syukur bertempat di Masjid Putra, Putrajaya.
Program itu adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) serta 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Program itu berjaya menghimpunkan seramai 3,000 orang peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa, masyarakat setempat serta mahasiswa daripada pelbagai universiti awam dan swasta antaranya Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan lain-lain.
Penganjuran program ini bertujuan menyambut kedatangan tahun baharu dengan pendekatan Islam melalui pengisian kerohanian, muhasabah diri dan pembangunan ummah.
Program yang bermula pada 31 Disember 2025 itu turut menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi berkaitan isu semasa dan pembangunan belia.
Antaranya podcast Membina Insan Rahmah, International Quran Moment, Forum Islam Mekar di Bumi Malaysia: Apa Peranan Kita?, ceramah Empowering Global Muslim Communities serta munajat dan qiamullail.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran tokoh agama terkemuka iaitu Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM.
Selain peserta tempatan, program ini juga disertai peserta antarabangsa dari pelbagai negara secara bersemuka dan juga dalam talian.
Penganjuran Gema Syukur 2026 diharapkan dapat menjadi platform tahunan dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan belia agar menyambut tahun baharu dengan kesyukuran, doa dan pengabdian kepada Allah SWT selaras dengan aspirasi membentuk #UmmahRahmah.
Disediakan Oleh: Aminuddin Jahid, Exco Komunikasi Korporat, Kelab Yosh UMPSA
- 29 views
Reports by: