Mohamad Aiman buktikan aktif badan beruniform bukan penghalang cemerlang akademik
PEKAN, 5 September 2026 – Kesibukan membahagikan masa antara tuntutan akademik dan latihan pasukan beruniform tidak pernah menjadi alasan buat Mohamad Aiman Ahmad, 22, untuk mengabaikan salah satu daripadanya.
Sebaliknya, penglibatan dalam Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) menjadi medan yang membentuk disiplin, ketahanan diri dan kemahiran pengurusan masa sehingga beliau dinobatkan sebagai Kadet Terbaik Akademik dalam Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026.
Bagi mahasiswa Tahun 4, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian, Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu, pengiktirafan berkenaan cukup bermakna kerana ia merupakan anugerah yang sememangnya diimpikan sejak mengikuti latihan PASKAM.

Ujarnya, beliau berasa gembira dan bersyukur apabila nama saya dipilih untuk menerima Anugerah Kadet Terbaik Akademik ini kerana saya memang menyimpan hasrat untuk mendapatkan anugerah ini semasa berada dalam latihan lagi.
“Pencalonan bagi anugerah tersebut bukan sekadar bergantung kepada kecemerlangan akademik di universiti, malah turut mengambil kira pencapaian akademik sepanjang menjalani latihan PASKAM.
“Aspek akademik di universiti melibatkan prestasi dan usaha mengekalkan pencapaian akademik, manakala dalam latihan PASKAM, kadet turut dinilai menerusi ujian penilaian yang dilaksanakan ketika mengikuti Kem Pengukuhan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS),” kata anak kelahiran dari Perak ini.

Di sebalik kejayaan tersebut, pengurusan masa menjadi cabaran terbesar sepanjang beliau mengimbangi komitmen sebagai mahasiswa dan kadet.
“Bagi saya, masa yang terhad menjadi cabaran terbesar untuk mencapai kejayaan ini.
“Namun, dengan penyusunan masa yang cekap, saya dapat membahagikan masa antara latihan dengan akademik.
“Pengurusan masa yang baik amat penting kerana kegagalan mengurus jadual dengan teratur boleh menyebabkan keciciran dalam akademik, terutama apabila komitmen latihan PASKAM perlu dilaksanakan secara konsisten,” katanya.

Dalam tempoh dua tahun mengikuti latihan PASKAM, sokongan ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan kadet Siri 2/2024 menjadi antara kekuatan utama yang membantunya terus bertahan serta memberikan komitmen sehingga ke penghujung latihan.
Jelasnya lagi, kalau di rumah, semestinya kedua-dua ibu bapa saya yang memberikan sokongan untuk saya terus berada dalam PASKAM.
“Tidak lupa juga kepada barisan jurulatih dan kadet Siri 2/2024 yang banyak membantu dari segi mental dan fizikal sepanjang latihan selama dua tahun,” tambahnya.
Selain kecemerlangan akademik, penglibatan dalam PASKAM turut memberi pengalaman kepimpinan yang cukup bermakna apabila beliau diberi kepercayaan memegang tanggungjawab sebagai CO Pasukan Kadet Maritim UMPSA.
Kepercayaan tersebut menjadi antara pengalaman penting dalam pembentukan dirinya sebagai mahasiswa yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mampu mengurus pasukan.
Bagi Mohamad Aiman, pencapaian menerima Anugerah Kadet Terbaik Akademik menjadi antara kejayaan yang paling membanggakan sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA, khususnya kerana anugerah tersebut melibatkan penyertaan kadet daripada institusi pendidikan tinggi awam yang lain dan beliau merupakan wakil UMPSA.
Beliau turut melihat sokongan universiti sebagai antara faktor yang membantu kelancaran penglibatan mahasiswa dalam PASKAM, termasuk sokongan dari segi dana kem dan latihan serta kemudahan pengangkutan untuk melaksanakan aktiviti tahunan.
Kini, selepas menamatkan latihan PASKAM selama dua tahun, fokus utama Mohamad Aiman adalah untuk memastikan prestasi akademiknya terus dipertingkatkan.
“Buat masa sekarang, saya perlu fokus untuk menyiapkan tugasan akhir saya, Final Year Project 2, dan menjaga PNGK supaya kekal meningkat untuk semester yang mendatang,” katanya.
Mengulas nasihat kepada mahasiswa lain yang ingin mencapai kecemerlangan, beliau percaya kejayaan memerlukan gabungan usaha, doa dan tawakal.
“Usaha, doa dan tawakal.
“Kita buat tiga perkara ini, insya-Allah ada hasilnya, cepat atau lambat sahaja,” ujarnya.
Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, Mohamad Aiman berharap kejayaannya dapat mengubah persepsi terhadap penyertaan mahasiswa dalam badan beruniform.
“Saya berharap dengan kejayaan saya ini, kita boleh hapuskan stigma bahawa menyertai badan beruniform tiada masa untuk belajar dan tidak boleh berjaya.
“Saya sudah buktikan bahawa saya boleh lakukannya.
“Sesiapa yang berusaha, pasti akan berjaya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.
Beliau turut berharap UMPSA dapat memperbanyakkan lagi penyertaan mahasiswa dalam badan beruniform kerana penglibatan tersebut memberikan pelbagai manfaat, khususnya dalam membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri.
Bagi Mohamad Aiman, pengiktirafan yang diterima merupakan tanda penghargaan terhadap usaha dan komitmennya sepanjang menjalani latihan sebagai kadet PASKAM UMPSA serta dalam masa yang sama meneruskan pengajian sebagai mahasiswa.
Kejayaan beliau membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam badan beruniform mampu bergerak seiring sekiranya disokong dengan disiplin serta pengurusan masa yang baik.
Lebih penting, pencapaian itu membawa mesej bahawa mahasiswa tidak seharusnya takut untuk menyertai aktiviti kokurikulum dan badan beruniform kerana pengalaman yang diperoleh mampu menjadi nilai tambah dalam pembentukan diri sebagai individu yang lebih yakin, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad dan Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 20 views
Reports by: