Skip to main content

Mohamad Hafizi dinobatkan Penerima Anugerah Perdana PASKAM

PEKAN, 5 September 2026 – Disiplin, ketahanan mental dan keberanian mencabar kemampuan diri menjadi antara nilai yang membawa mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mohamad Hafizi Mohamad Faizal, 22, dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Perdana PASKAM pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Leftenan Muda PASKAM Peringkat Universiti Awam Kali Pertama Tahun 2026.

Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu, pengiktirafan berkenaan menjadi kemuncak kepada perjalanan panjang yang sarat dengan pengalaman dalam bidang kepimpinan, sukan, inovasi dan pasukan beruniform.

“Saya berasa sangat bersyukur, terharu dan pada masa yang sama amat berbangga apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana PASKAM.

“Pengiktirafan ini merupakan satu penghargaan yang sangat bermakna kerana ia adalah hasil daripada usaha, disiplin dan pengorbanan sepanjang menjalani latihan.

“Saya melihat anugerah ini bukan sahaja sebagai kejayaan peribadi, tetapi juga sebagai penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bimbingan kepada saya sepanjang perjalanan ini,” ujarnya. 

Majlis yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA, Pekan itu menyaksikan seramai 127 kadet daripada UMPSA, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PASKAM.

Mohamad Hafizi dinobatkan Penerima Anugerah Perdana PASKAM

Dilahirkan di Sungai Petani, Kedah, Mohamad Hafizi merupakan anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Mohamad Faizal Ahmad dan Hamisah aAdnan.

Perjalanan pendidikannya bermula di Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun sebelum meneruskan pengajian di Kolej Vokasional Arau.

Minat terhadap bidang teknikal kemudiannya membawa beliau melanjutkan pengajian di UMPSA dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas dengan Kepujian.

Kesungguhan dalam pengajian membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh PNGK 3.60, sekali gus membuktikan keupayaannya mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan kepimpinan.

Namun, perjalanan mahasiswa berusia 22 tahun itu tidak hanya tertumpu kepada akademik. 

Pengalaman kepimpinan yang dilalui sejak di Kolej Vokasional Arau apabila diberi kepercayaan sebagai Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi antara asas penting dalam membentuk keyakinan dan kematangan beliau mengurus tanggungjawab.

“Saya diberi peluang untuk memimpin dan berkomunikasi dengan pelbagai pihak serta memahami keperluan mahasiswa. 

“Pengalaman tersebut banyak mengajar saya untuk membuat keputusan secara matang dan berhemah.

“Selain kepimpinan, saya juga aktif dalam sukan ragbi sehingga berpeluang mewakili pertandingan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Tidak terhenti di situ, minat terhadap inovasi turut membuka ruang kepada beliau untuk mengembangkan potensi apabila berjaya menerima Anugerah Inovasi Terbaik dalam pertandingan inovasi antarabangsa iCompex.

Menurutnya, penglibatan dalam pelbagai bidang tersebut banyak membentuk dirinya dari aspek kepimpinan, disiplin, kerja berpasukan dan keyakinan diri sebelum pengalaman itu diperkukuh menerusi penyertaan dalam PASKAM.

Mohamad Hafizi dinobatkan Penerima Anugerah Perdana PASKAM

“PASKAM bukan sekadar platform untuk membina kecergasan fizikal, malah turut menekankan aspek disiplin, kerja berpasukan, ketahanan mental dan kepatuhan terhadap arahan.

“Sepanjang menjalani latihan, saya berusaha memberikan komitmen dan kesungguhan yang tinggi serta terus berdaya tahan dalam menghadapi setiap cabaran,” katanya.

Bagi Mohamad Hafizi, cabaran terbesar sepanjang mengikuti latihan PASKAM adalah untuk mengekalkan ketahanan mental dan fizikal ketika berdepan latihan yang mencabar.

“Latihan yang dilalui memerlukan disiplin, komitmen dan kesungguhan yang tinggi. 

“Ada ketika saya berdepan dengan keletihan dan tekanan, namun saya belajar untuk terus bertahan, mengawal diri dan memberikan yang terbaik dalam setiap latihan.

“Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa kejayaan bukan hanya bergantung kepada kemampuan fizikal, tetapi turut memerlukan kekuatan mental dan semangat untuk tidak mudah berputus asa,” jelasnya. 

Di sebalik pencapaian tersebut, beliau menyifatkan ibu dan ayah sebagai sumber kekuatan terbesar yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti dalam setiap perkara yang dilakukan.

Penghargaan turut diberikan kepada Pegawai Penyelaras, Lt. M Wan Husin Zaki Wan Abdullah Fadzil, barisan jurulatih dan Young Officer (YO) yang banyak membantu dari aspek latihan fizikal serta pembentukan ketahanan mental.

“Tidak dilupakan juga sokongan daripada skuad saya sendiri, PASKAM Siri 2, yang bersama-sama melalui segala cabaran, latihan dan pengalaman sepanjang program ini.

“Bagi saya, kejayaan ini bukanlah kejayaan saya seorang. 

“Tanpa sokongan, bimbingan dan semangat daripada semua pihak tersebut, saya mungkin tidak berada di tahap ini,” katanya.

Dalam mengimbangi tuntutan akademik dan kokurikulum, Mohamad Hafizi berkata, pengurusan masa dan disiplin menjadi perkara paling penting.

Beliau melihat penglibatan dalam aktiviti kokurikulum sebagai satu ruang untuk membina kemahiran yang tidak semestinya diperoleh di dalam bilik kuliah, termasuk kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan tekanan.

“Saya cuba memastikan tanggungjawab akademik sentiasa diberikan perhatian yang sewajarnya, pada masa yang sama tidak mengabaikan komitmen dalam aktiviti kokurikulum.

“Saya melihat kedua-dua aspek ini saling melengkapi dalam membentuk diri saya sebagai seorang mahasiswa,” ujarnya. 

Mengulas mengenai pencapaian paling membanggakan sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA, beliau menyifatkan penerimaan Anugerah Perdana PASKAM sebagai satu kenangan paling bermakna.

“Lebih daripada sekadar sebuah anugerah, pengalaman ini banyak membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan berani menghadapi cabaran.

“Saya melihat pencapaian ini sebagai salah satu kenangan paling bermakna sepanjang bergelar mahasiswa UMPSA,” katanya.

Menurutnya lagi, UMPSA turut memainkan peranan besar dalam membentuk kejayaan tersebut menerusi peluang yang diberikan kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah.

“Penglibatan saya dalam PASKAM memberikan pengalaman untuk membina kepimpinan, ketahanan mental dan kemahiran bekerja dalam pasukan.

“Sokongan serta bimbingan daripada pihak universiti dan barisan jurulatih turut mendorong saya untuk sentiasa berusaha dan mencabar diri menjadi lebih baik,” ujar beliau. 

Selepas menerima pengiktirafan tersebut, Mohamad Hafizi berhasrat untuk terus memberikan manfaat kepada PASKAM dan UMPSA dengan berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang diperoleh sepanjang mengikuti latihan.

“Saya berharap dapat membantu barisan jurulatih dalam mengurus dan membimbing ambilan PASKAM yang seterusnya sekiranya diberikan peluang.

“Saya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh supaya kadet baharu dapat membuat persediaan yang lebih baik, selain membantu mereka membina ketahanan fizikal, mental dan semangat berpasukan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mahasiswa supaya sentiasa berusaha secara konsisten, berdisiplin dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.

“Jangan takut untuk mencuba perkara baharu kerana setiap pengalaman, sama ada kejayaan atau kegagalan, pasti memberikan sesuatu untuk dipelajari.

“Kecemerlangan tidak datang dalam sekelip mata tetapi merupakan hasil daripada usaha, kesungguhan dan disiplin yang dilakukan secara berterusan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau berharap UMPSA akan terus memperkasakan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi dalam pelbagai bidang, khususnya kepimpinan, inovasi, sukan dan kokurikulum.

“Saya berharap mahasiswa bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut mempunyai jati diri, disiplin dan kemahiran insaniah yang tinggi.

“Untuk generasi mahasiswa akan datang, beranilah mengambil peluang, mencabar kemampuan diri dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu. 

“Setiap mahasiswa mempunyai potensi tersendiri dan peluang yang diberikan universiti boleh menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Bagi Mohamad Hafizi, pengiktirafan tersebut bukan sekadar sebuah anugerah, sebaliknya menjadi simbol kepada segala usaha, pengorbanan dan pengalaman yang dilalui sepanjang mengikuti latihan PASKAM.

“Anugerah ini mengingatkan saya bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, walaupun mencabar, akhirnya akan memberikan hasil yang bermakna.

“Pada masa sama, pengiktirafan ini juga menjadi satu amanah untuk saya terus mengekalkan disiplin dan prestasi yang baik serta memberikan sumbangan kepada orang lain. 

“Saya berharap dapat meninggalkan impak positif kepada UMPSA dan masyarakat melalui contoh dari segi disiplin, tanggungjawab, semangat berpasukan serta kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu amanah,” katanya. 

Malah, beliau juga berharap pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang menyertai PASKAM dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam kehidupan serta dikongsikan kepada mahasiswa lain.

“Bagi saya, legasi bukan sekadar tentang pencapaian yang ditinggalkan tetapi tentang nilai dan pengaruh positif yang dapat diteruskan oleh orang lain,” katanya.

Majlis berkenaan bukan sekadar meraikan kejayaan para kadet menamatkan latihan dan menerima tauliah, malah menjadi lambang komitmen berterusan APMM bersama institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, berdaya tahan serta bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta Dan Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri