Skip to main content

Mohamad Mohsin Ismail dinobat Ikon Alumni Harapan UMPSA

GAMBANG, 16 Jun 2026 – Graduan Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Mohamad Mohsin Ismail, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Alumni Harapan UMPSA di Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 atas kecemerlangan beliau dalam bidang inovasi dan keusahawanan teknologi.

Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian beliau sebagai usahawan muda yang berjaya mengasaskan syarikat teknologi Mahiran Digital Sdn. Bhd. ketika masih bergelar mahasiswa.

Mohamad Mohsin yang berasal dari Kelantan dan kini berusia 25 tahun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian bagi sesi pengajian 2021–2024.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Mahiran Digital Sdn. Bhd. yang membangunkan pelbagai sistem digital untuk industri.

Menurutnya, pengiktirafan itu amat bermakna dan menjadi bukti bahawa usaha yang dilakukan dengan kesungguhan serta keikhlasan akan dihargai pada waktunya.

“Saya berasa amat bersyukur, terharu dan tidak menyangka akan menerima pengiktirafan sebesar ini. 

“Anugerah ini bukan sahaja penghargaan kepada usaha saya, tetapi juga kepada keluarga, pensyarah, rakan-rakan serta semua individu yang telah menyokong perjalanan saya sejak bergelar mahasiswa sehingga menjadi usahawan teknologi hari ini,” ujarnya. 

Sepanjang bergelar mahasiswa, beliau aktif dalam bidang inovasi dan keusahawanan teknologi. 

Antara pencapaian utama beliau ialah memenangi Anugerah Emas CITREX dan ITEX, Anugerah Emas Fakulti Komputeran, serta Tokoh Mercu Sanjung UMPSA.

Beliau juga berjaya membangunkan FireAudit.my, sebuah platform perisian sebagai perkhidmatan (SaaS) yang digunakan untuk pengurusan audit keselamatan kebakaran. 

Selain itu, syarikat yang diasaskannya turut menyediakan peluang pekerjaan dan latihan industri kepada lebih 70 pelajar universiti melalui pelbagai projek industri sebenar.

Menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi, Mohamad Mohsin berkata, mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar sepenuh masa dengan komitmen menguruskan syarikat merupakan cabaran terbesar sepanjang perjalanan mencapai kejayaan.

“Pada peringkat awal, saya perlu mengurus pembangunan projek, pelanggan, kewangan syarikat dan pada masa yang sama memastikan prestasi akademik kekal cemerlang. 

“Namun, cabaran tersebut mengajar saya tentang disiplin, pengurusan masa dan ketahanan mental,” ujarnya.

Mohsin turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, pensyarah FK, Pusat Keusahawanan UMPSA dan rakan industri yang banyak memberi sokongan serta bimbingan sepanjang pengajian dan pembangunan syarikat.

Menurutnya lagi, UMPSA memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk kejayaan yang dikecapinya hari ini.

“Selain menyediakan asas akademik yang kukuh, UMPSA turut memberi ruang untuk saya terlibat dalam inovasi, kepimpinan dan keusahawanan. 

“Sokongan melalui program inkubator, pertandingan inovasi, bimbingan pensyarah dan ekosistem pembelajaran yang kondusif telah membantu saya membina keyakinan untuk menjadi usahawan teknologi,” katanya.

Beliau bercadang untuk terus mengembangkan Mahiran Digital dan memperkukuh platform FireAudit.my ke seluruh Malaysia sebelum menembusi pasaran ASEAN.

Mohsin juga berhasrat untuk memperluas peluang latihan dan pekerjaan kepada lebih ramai pelajar serta graduan muda agar mereka mendapat pengalaman industri sebenar sebelum memasuki alam pekerjaan.

Beliau berharap agar UMPSA akan terus melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan berjiwa usahawan.
Katanya, UMPSA bukan sekadar tempat dirinya untuk menimba ilmu, tetapi tempat yang membentuk keyakinan, kepimpinan dan keberanian untuk mencipta peluang. 

“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta impak yang besar,” tambahnya. 

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim