MPP UMPSA perkasa literasi kewangan, lebih 770 pelajar terima manfaat
GAMBANG, 30 Mei 2026 – Lebih 770 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima manfaat menerusi pelbagai program berimpak tinggi yang dianjurkan sepanjang Financial Literacy Month 2026 bagi memperkukuh tahap literasi dan kecerdasan kewangan dalam kalangan mahasiswa.
Inisiatif yang digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA itu dilaksanakan sebagai usaha membentuk generasi mahasiswa yang lebih cakna, matang dan berdaya tahan dalam mengurus kewangan peribadi, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos sara hidup.
Program dimulakan pada 8 Mei lalu menerusi Sesi Perkongsian Eksklusif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi fokus kepada kepentingan perancangan persaraan dan amalan menabung sejak usia muda.
Sesi yang dikendalikan oleh Relationship Advisor KWSP Cawangan Kuantan, Nor Azizah Mohd Aziz itu berjaya menarik penyertaan seramai 222 mahasiswa.
Usaha memperkasakan pengetahuan kewangan diteruskan pada 9 Mei menerusi Program Be$mart Financial Literacy hasil kerjasama strategik bersama CIMB. Program tersebut mencatatkan kehadiran seramai 400 peserta dan menampilkan pendidik kewangan terkenal negara, Encik Faiz Azmi atau Financial Faiz.
Melalui perkongsian yang interaktif dan praktikal, peserta didedahkan dengan pelbagai strategi pengurusan kewangan peribadi, teknik membuat keputusan kewangan yang bijak serta langkah membina kestabilan kewangan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kemuncak Financial Literacy Month 2026 menyaksikan penganjuran Industrial Talk & Market Mastery 2.0 pada 15 Mei hasil kolaborasi bersama IMPRESS, RHB Bank dan MyNext oleh TalentCorp.
Program yang menghimpunkan 150 peserta itu turut disertai pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sekali gus memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi.
Menariknya, program tersebut turut menampilkan Duta MyNext UMPSA, Amirul Irfan dan Duta RHB UMPSA, Fazleizam, yang memainkan peranan sebagai penghubung antara mahasiswa dan industri.
Melalui gabungan sesi perkongsian industri dan simulasi pelaburan secara langsung, peserta berpeluang memahami realiti pasaran kewangan, mengurus risiko pelaburan dan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
Kejayaan penganjuran Financial Literacy Month 2026 membuktikan komitmen berterusan MPP UMPSA dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kecerdasan kewangan serta kemahiran membuat keputusan yang lebih baik.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi mahasiswa yang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan, sekali gus mampu merancang kehidupan kewangan yang stabil, mampan dan berdaya tahan.
Disediakan Oleh: Nurul Adlina A'zmi, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UMPSA
- 24 views
Reports by: