Skip to main content

Norliana Samsudin terima Anugerah Ikon Inspirasi Pembelajaran Sepanjang Hayat

GAMBANG, 10 Jun 2026 – Semangat menuntut ilmu tanpa mengira usia dan kejayaan yang telah dicapai menjadi antara faktor utama yang melayakkan alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Norliana Samsudin, dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Inspirasi Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malam Anugerah Mercu Sanjung (MARS) 2025 yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang baru-baru ini.

Pengiktirafan itu diberikan atas komitmen berterusan beliau dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, pembangunan diri dan keusahawanan sehingga berjaya membina serta menerajui beberapa perniagaan dalam pelbagai sektor industri.

Norliana yang juga seorang usahawan berjaya membuktikan bahawa pembelajaran merupakan satu proses yang tidak pernah berakhir walaupun telah mencapai kejayaan dalam kerjaya dan dunia perniagaan.

Kesungguhannya untuk terus meningkatkan kompetensi diri diterjemahkan melalui usaha melanjutkan pengajian di UMPSA, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat bahawa pendidikan sepanjang hayat merupakan kunci kepada pembangunan diri dan kemajuan profesional.

Sebagai Pengarah Urusan, Pemilik dan Pengasas Juara Jaga Sdn. Bhd. serta Pengasas Prokuya Studios Sdn. Bhd., beliau berjaya mengembangkan perniagaan yang merangkumi pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, industri kreatif, teknologi maklumat, pembuatan dan perdagangan.

Kejayaan tersebut mencerminkan keupayaannya mengadaptasi ilmu, kemahiran dan pengalaman secara berterusan bagi memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah dan semakin kompetitif.

Selain menyerlah dalam bidang keusahawanan, Norliana turut dikenali sebagai personaliti media sosial yang berpengaruh dengan jutaan pengikut di pelbagai platform digital.

Norliana aktif berkongsi pengalaman, inspirasi dan mesej berkaitan pendidikan, pembangunan diri dan keusahawanan yang berjaya memberi impak positif kepada masyarakat.

Melalui pengaruh digital yang dimiliki, beliau memanfaatkan platform media sosial sebagai medium untuk menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, khususnya dalam kalangan generasi muda dan golongan usahawan.

Perkongsiannya bukan sahaja memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah membantu meningkatkan keterlihatan UMPSA sebagai institusi pendidikan yang mendukung agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Pemilihannya sebagai penerima anugerah itu turut mengambil kira keupayaannya menjadi sumber inspirasi kepada golongan wanita, usahawan dan generasi muda bahawa kejayaan yang mampan perlu disokong dengan usaha menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran secara konsisten.

Kejayaan yang dikecapi Norliana membuktikan bahawa ilmu, kemahiran dan pengalaman yang sentiasa dipertingkatkan mampu membuka peluang baharu, meningkatkan daya saing serta menyumbang kepada pembangunan diri, organisasi dan masyarakat.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu merupakan satu penghormatan besar yang amat bermakna dalam perjalanan akademik dan profesionalnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak UMPSA atas penganugerahan Anugerah Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat ini.

“Saya amat berbesar hati, terharu dan bersyukur kerana diberikan penghormatan serta pengiktirafan sebagai alumni UMPSA.

“Anugerah ini bukan sahaja menjadi penghargaan kepada usaha dan komitmen saya dalam menuntut ilmu, malah menjadi inspirasi untuk terus mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya. 

Beliau turut menyeru semua peserta program Profesional dan Eksekutif UMPSA agar meneruskan pengajian dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi.

Menurutnya, kejayaan akademik yang dicapai mampu membuka lebih banyak peluang bagi pembangunan kerjaya dan peningkatan potensi diri pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan lepasan sekolah untuk memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi kerana universiti itu menawarkan pelbagai program berkualiti yang mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Penganugerahan tersebut mencerminkan komitmen UMPSA  dalam mengiktiraf individu yang bukan sahaja berjaya dalam bidang masing-masing, malah berperanan menyebarluaskan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat serta menjadi inspirasi kepada generasi masa hadapan.

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim