Skip to main content

Nurul Ain harumkan nama UMPSA, rangkul Anugerah Kecemerlangan Kursus Askar Wataniah

PEKAN 5 April 2026 – Buat pertama kalinya, pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merangkap anggota Wataniah dari batalion keempat iaitu 6307461 Pbt Nurul Ain Syafia Mazni telah dianugerahkan sijil kecemerlangan kursus kategori anggota lain-lain pangkat yang telah disempurnakan oleh Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Penganugerahan itu telah diadakan bersempena dengan perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen 505 Askar Wataniah ke-46 yang diadakan dengan penuh istiadat bertempat di Kem Force 136, Rejimen Askar Wataniah, Pekan. 

Nurul Ain harumkan nama UMPSA, rangkul Anugerah Kecemerlangan Kursus Askar Wataniah

Pengiktirafan tersebut diraih hasil kecemerlangan beliau sepanjang mengikuti Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) 2025 di Kem Susur Tembeling, Batalion Kedua, Jerantut, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan kursus berkenaan.

Acara tahunan ini telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pendokong Askar Watanaiah (JAKPAW) negeri Pahang, pegawai tetap, pegawai sukarela, anggota tetap, anggota sukarela, serta jemputan khas yang bersama-sama memeriahkan majlis dan mempamerkan tradisi ketenteraan Rejimen 505. 

Perbarisan ini telah melibatkan seramai 15 orang pegawai dan 140 orang anggota lain-lain pangkat. 

Bersempena HUT ini juga telah diadakan penyampaian anugerah-anugerah kecermelangan kepada pegawai dan anggota sukarela sebagai tanda penghargaan rejimen di atas pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2025. 

Nurul Ain harumkan nama UMPSA, rangkul Anugerah Kecemerlangan Kursus Askar Wataniah

Penganugerahan yang diterima oleh Pbt Nurul Ain Syafia ini diharapkan dapat menjadi pemangkin dan motivasi kepada anggota-anggota lain, terutamanya anggota wataniah UMPSA untuk sentiasa berusaha ke arah kecemerlangan, selaras dengan aspirasi pasukan melahirkan modal insan yang berdisiplin, kompeten dan berintegriti. 

Secara keseluruhannya, sambutan ulang tahun ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan anggota, malah turut berjaya memperkukuh semangat setiakawan, disiplin, dan jati diri warga pasukan. 

Acara ini jelas mencerminkan peranan dan sumbangan penting Rejimen 505 Askar Wataniah dalam membangun dan menggilap kualiti personal pelajar UMPSA dalam kemahiran insaniah selain kemahiran asas ketenteraan. 

Disediakan Oleh: Mejar Dr. Imaduddin Abidin dan Mejar Ts. Hazami Che Hussin, Askar Wataniah UMPSA

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri