Nurul Syahiera dinobatkan Ikon Wira Bicara 2025, bukti keberanian mencuba membuahkan kejayaan
GAMBANG, 15 Jun 2026 – Keberanian untuk mencuba dan kesungguhan dalam mengembangkan potensi diri menjadi kunci kejayaan buat mahasiswa Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurul Syahiera Abd Latip apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Wira Bicara 2025.
Mahasiswi tahun akhir program Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian itu menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat bermakna setelah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang bergelar mahasiswa.
Menurut anak kelahiran Johor berusia 25 tahun itu, kejayaan tersebut lebih manis apabila beliau pernah tersenarai sebagai finalis pada tahun 2024 namun, tidak berjaya membawa pulang anugerah berkenaan.
“Perasaan saya sangat teruja dan bersyukur kerana ini merupakan pencalonan finalis saya yang kedua.
“Tahun lalu saya tidak berjaya, namun tahun ini saya diberikan rezeki untuk dinobatkan sebagai Ikon Wira Bicara 2025.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa setiap usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak sia-sia,” katanya.
Aktif dalam pelbagai bidang pengucapan awam dan kepimpinan, Syahiera mencipta sejarah sebagai wakil tunggal UMPSA yang dilantik sebagai MyNext Campus Ambassador 2025, sekali gus berjaya muncul sebagai Top MyNext Ambassador All-Stars dan Top Ambassador MyNext bagi kohort tahun tersebut.
Selain itu, beliau turut dikenali dalam kalangan warga universiti sebagai pengacara majlis rasmi dan tidak rasmi serta pernah berkhidmat sebagai wartawan konvokesyen UMPSA selama tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2022 hingga 2024.
Mengulas cabaran yang dihadapi, beliau berkata, bidang pengucapan awam memerlukan tahap profesionalisme dan kesempurnaan yang tinggi terutamanya apabila mengendalikan program yang melibatkan tetamu kenamaan dan kerabat diraja.
“Harapan masyarakat dan pihak yang terlibat menjadi cabaran terbesar saya.
“Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kerana kebanyakan program yang saya kendalikan melibatkan individu penting termasuk pihak istana,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya yang merupakan warga UMPSA kerana sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang penglibatannya dalam pelbagai aktiviti universiti.
Katanya, kejayaan yang dikecapi hari ini juga banyak dibentuk melalui budaya sokongan yang diterapkan oleh UMPSA yang sentiasa memberi ruang kepada mahasiswa untuk meneroka bakat dan mengembangkan potensi diri.
“UMPSA banyak membantu saya dari segi perkongsian idea, bimbingan dan peluang untuk melaksanakan pelbagai program.
“Sokongan yang diberikan membolehkan saya lebih yakin untuk terus maju,” katanya.
Antara pencapaian lain yang membanggakan beliau ialah terpilih sebagai salah seorang daripada lima wakil universiti yang menyertai Minang Entrepreneur Summer Course di Universitas Andalas, Padang, Indonesia yang ditaja sepenuhnya.
Bagi Syahiera, anugerah yang diterima bukanlah nokhtah kepada perjalanan yang dilalui, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus aktif dalam bidang pengucapan awam dan komunikasi profesional.
Beliau yang kini sedang menjalani latihan industri di Petronas Chemicals MTBE turut menyimpan impian untuk menjadi pengacara atau moderator bertaraf antarabangsa suatu hari nanti.
Dalam pada itu, beliau menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak takut mencuba sesuatu yang baharu kerana setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama.
“Segala yang saya peroleh hari ini bermula dengan keberanian untuk mencuba.
“Kita mungkin takut untuk bermula, tetapi jika tidak mencuba, kita tidak akan tahu kemampuan sebenar diri kita.
“Jangan sesekali menghadkan potensi diri atau takut untuk melibatkan diri dalam bidang yang diminati sama ada akademik, kokurikulum, kepimpinan mahupun sukan,” katanya.
Beliau berharap kisah perjalanan dan pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berusaha, berfikiran positif dan berani mencipta peluang demi kecemerlangan diri serta mengharumkan nama UMPSA di peringkat lebih tinggi.
Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 12 views