Pelajar program Pengurusan Projek UMPSA hasilkan rekaan landskap untuk manfaat universiti
GAMBANG, 16 Januari 2025 - Sebanyak 21 hasil rekaan landskap pelajar tahun dua program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) mempamerkan hasil rekaan landskap mereka bagi kursus Integrated Project Management 1 di bawah seliaan pensyarah FPI, Siti Airin Abdul Ghani.
Projek tersebut yang melibatkan seramai 160 pelajar itu berpeluang untuk membuat reka bentuk landskap bagi kawasan lapang di sekitar universiti.
Menurut Siti Airin, kursus Integrated Project Management 1 bertujuan untuk menggabungkan dan menyepadukan kursus-kursus yang diajar sepanjang tahun pengajian.
"Pelajar dibahagikan kepada kumpulan untuk menyelesaikan dan menyempurnakan tugasan projek.
"Tugasan yang terlibat termasuklah perancangan dan penjadualan dari awal hingga tarikh tamat projek, anggaran dan pembiayaan kos yang terlibat serta mencari sumber yang boleh dipercayai untuk membiayai projek tersebut, “katanya.
"Sepanjang kursus ini, pelajar diselia dan dibimbing bagi menyelesaikan projek dengan sebaik mungkin agar dapat mencapai objektif kursus ini,” ujarnya.
Manakala pada akhir semester, mereka akan dikehendaki untuk mengemukakan cadangan dan membentangkan hasil kerja kepada panel penilai.
Sementara menurut pelajar, Muhammad Fazleizam Mohd Khairudin, mereka ditugaskan untuk mereka bentuk landskap bagi kawasan lapang di sekitar universiti.
"Kami ditugaskan untuk mereka bentuk landskap berdasarkan kawasan-kawasan yang terdapat di dalam UMPSA.
"Kebanyakan kawasan yang dipilih adalah kawasan lapang atau tersorok yang belum dibangunkan lagi," katanya.
Pelajar Aina Nuraini Kamaruzaman pula berkata, mereka amat berbesar hati jika pihak universiti sudi melihat hasil rekaan inovasi landskap mereka.
"Kami amat berbesar hati jika hasil projek landskap kami ini dilihat oleh pihak universiti seterusnya dijadikan sumber inspirasi bagi memanfaatkan kawasan-kawasan lapang di sekitar universiti ini," katanya.
Mengambil masa yang agak lama bagi menyiapkan tugasannya, Muhammad Aiman Noordin pula berkata, projeknya yang bertajuk "Cultural Fusion Park" ini adalah hasil idea dari kumpulannya.
"Cultural Fusion Park" adalah nama projek landskap kumpulannya dan mereka memilih untuk membangunkan kawasan lapang berdekatan dengan Residen Pelajar 3.
"Rekaan landskap yang dibangunkan adalah bertemakan tiga bangsa utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.
"Landskap yang dibangunkan dalam projek kami ini bertujuan untuk dimanfaatkan oleh warga kampus terutama para pelajar," ujarnya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) ini akan menjalani pengajian selama empat tahun dengan mengikuti pelbagai kursus-kursus teras dan elektif.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 497 views