Pelajar UMP guna Kad Prihatin Siswa ganti kad matrik
PEKAN, 28 Oktober 2022 - Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini menggunakan Kad Prihatin Siswa (RHB Kad Debit-i) sebagai Kad Matrik Pelajar setelah seramai 12,615 pelajar berjaya mengaktifkan kad mereka secara berperingkat sejak 18 Oktober lalu melibatkan kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang.
Kad Prihatin Siswa inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama-sama Universiti Awam di Malaysia dan bank RHB itu merupakan inisiatif penjimatan kewangan, cashless, smart campus, identiti pelajar dan mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih baik melibatkan pelajar, pengurusan universiti, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan KPT.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, UMP menyambut baik usaha ini dan merupakan universiti kedua melaksanakan inisiatif ini selepas pelaksanaan buat pertama kalinya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 13 Oktober lalu.
“Ia juga bakal memperkasa dan mempelbagaikan fungsi kad matrik pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta memudahkan penyaluran peruntukan atau bantuan kewangan terus ke akaun pelajar.
“Selain itu, sebagai transformasi ekosistem kewangan di IPT ke arah dan menyeragamkan kemudahan atau fasiliti dan tawaran atau keistimewaan, ganjaran atau promosi kepada pelajar IPT.
“Usaha ini juga selari dengan kehendak universiti yang menekankan aspek pendigitalan mendepani IR4.0 dan ke arah kampus pintar,” ujarnya.
Berlangsung baru-baru ini kunjungan daripada RHB Bank Berhad bagi memantau pelaksanaan proses serahan dan pengaktifan kad ini dan membincangkan hubungan kerjasama yang dapat dimanfaatkan kedua-dua pihak antaranya cadangan memperluas penggunaan kad ini bagi saluran dana, kad khas buat Alumni UMP dan lain-lain kemudahan untuk staf.
Dalam program ini, UMP menerima sumbangan zakat sebanyak RM10,000 daripada RHB Bank bagi membantu pelajar berkeperluan sebagai tanggungjawab sosial.
Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Dato’ Adissadikin Ali kepada Bendahari UMP, Zainuddin Othman.
Turut sama hadir Ketua Islamic Business Development RHB Bank, Razali Hisham, Pengarah Cawangan Pantai Timur, Effendi Razak, Pengurus Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah, Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor, Abd Rahman Haji Safie dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 459 views